Monday, March 16, 2009

Doktrin Pengasingan Kuasa sebagai tonggak Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Selangor

[Ucapan oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San pada 16 Mac 2009 semasa membahas Usul Laporan Jawatankuasa Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor di DUN Shah Alam]

1. Saya turut berdiri untuk menyokong usul dan laporan ini yang bertujuan untuk mmantapkan perjalanan urusan mesyuarat DUN.

2. Satu lagi cadangan yang signifikan ialah usaha-usaha Jawatankuasa untuk memperkasakan sistem jawatankuasa di Dewan Yang Mulia ini. Ini juga merupakan langkah-langkah awal untuk membentuk sistem pentadbiran berasaskan prinsip pengasingan kuasa yang tulen.

3. Cabaran yang dihadapi oleh Eksekutif dalam menjalankan tugas pentadbiran memang sudah semakin bertambah semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri. Terdapat banyak isu baru yang tertimbul dan kita memerlukan perubahan dari segi minda untuk memastikan hal-ehwal pentadbiran dapat berjalan lancar.

4. Di sini saya menampak peranan penting yang dapat dimainkan oleh Dewan Undangan Negeri dalam membantu perjalanan tugas dan pencetusan idea-idea baru dalam pentadbiran negeri.

5. Saya yakin dan percaya bahawa dengan adanya cadangan-cadangan ini, maka Dewan Undangan Negeri bukan sahaja boleh berfungsi dengan lebih berkesan, malahan ianya akan memulakan langkah menuju ke arah Dewan Undangan Negeri yang betul-betul kelas dunia.

6. Dewan Undangan Negeri merupakan badan perundangan yang tertinggi di negeri Selangor. Perjalanan urusan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula bergantung kepada Peraturan-peraturan Tetap ini. Adalah wajar untuk kita sentiasa meneliti dan membuat perubahan yang diperlukan mengikut peredaran zaman terhadap peraturan-peraturan Tetap ini.

7. Dalam laporan ini, dilampirkan cadangan Kaedah Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan. Cadangan pindaan telah dibuat di Peraturan Tetap 71 dan 73. Peraturan Tetap 71 telah dipinda dengan memasukkan subseksyen (3), (4) dan (5) di mana ini membolehkan Tuan Speaker menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas pada bila-bila masa dan penubuhan itu akan dilaporkan ke Dewan dengan serta-merta apabila Dewan bersidang semula. Pada sementara waktu, persediaan dapat dijalankan sebelum ianya dapat ditubuhkan secara rasmi.

8. Pengasingan Kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil "Separation of Powers" merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama: Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman (Judisiari).

9. Ia untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pengasingan kuasa dapat mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari pemerintahan kuku besi dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut. Ini adalah sebab mengapa perjalanan Dewan Yang Mulia ini, sebagai Dewan Perundangan yang tertinggi di negeri Selangor, perlulah dipisahkan daripada Eksekutif.

10. Konsep Pengasingan Kuasa bermula sejak zaman Yunani lama. Kemudian ahli falsafah Inggeris, John Locke, pada tahun 1690 membahagikan kuasa kerajaan kepada dua iaitu eksekutif dan legislatif.

11. Montesquieu dalam karyanya "Spirit of the Laws" (Bahasa Peranchis: L'esprit des loix) telah mengembangkan idea Locke, dengan menambahkan cabang kehakiman. Di bawah pembahagian kuasa, kerajaan dipecah kepada tiga cabang, iaitu: Legislatif atau penggubal undang-undang, Eksekutif atau pentadbir kerajaan berdasarkan undang-undang dan Kehakiman atau pelaksana undang-undang

12. Cabang-cabang ini mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling bergantung antara satu cabang dengan lain. Misalnya hakim dilantik oleh Ketua Eksekutif, manakala undang-undang yang berpunca dari cabang legislatif akan digunakan oleh badan kehakiman untuk membuat keputusan, manakala pihak eksekutif pula akan menguatkuasakan undang-undang tersebut.

13. Doktrin ini juga diperteguhkan lagi dengan elemen semak dan seimbang iaitu setiap badan mempunyai kuasa yang terhad dan boleh memeriksa serta menghadkan kuasa badan yang lain. Oleh itu, seorang Speaker mempunyai autonominya yang tersendiri yang bebas daripada campur tangan Eksekutif dan Kehakiman dan mempunyai hak untuk membuat keputusan berkenaan dengan hal-ehwal legislatif dan pembentukan undang-undang.

14. Bagi seorang Speaker, kuasa beliau datang daripada wakil rakyat yang menang dalam pilihanraya. Bagi seorang Ketua Eksekutif, beliau memegang jawatan itu kerana beliau mendapat sokongan majoriti wakil rakyat yang menang dalam pilihanraya.

15. Seorang Hakim walaupun dilantik oleh ketua Eksekutif, beliau masih boleh menjatuhkan hukuman undang-undang kepada ketua eksekutif tersebut kerana badan kehakiman mempunyai kebebasan kehakiman dan para hakim dilindungi oleh kekebalan kehakiman. Sekiranya elemen ini tiada, maka pembahagian kuasa sekadar nama sahaja.

16. Doktrin pembahagian kuasa amat nyata di negara-negara yang maju. Di negara-negara yang maju ini, setiap badan saling memeriksa penyalahgunaan kuasa satu sama lain. Malah, setiap badan mempunyai elemen semak dan seimbangnya masing-masing.

17. Misalnya polis boleh disoal siasat oleh satu badan bebas yang lain. Disamping itu, badan legislatif di kebanyakan negara adalah dwidewan untuk memastikan semak dan seimbang dilaksanakan dalam penggubalan undang-undang.

18. Sistem Semak dan Seimbang merupakan satu elemen demokrasi di mana setiap cabang kerajaan diberi kuasa untuk menghadkan cabang kerajaan yang lain.

19. Oleh itu, saya berpendapat ada kebaikannya jikalau pada masa depan kita dapat mengasingkan seluruh pentadbiran dan perjalanan urusan Dewan Undangan Negeri ini daripada Eksekutif di mana Dewan Yang Mulia dan Speaker serta Timbalannya mempunyai autonomi dalam menguruskan hal ehwal Dewan Undangan Negeri, sejajar dengan prinsip pengasingan kuasa.

20. Malahan pada sesi yang lepas semasa kita membahas tentang peruntukan kepada Dewan Undangan Negeri, saya pernah berkata supaya peruntukan kepada Dewan Undangan Negeri wajar dipertambahkan untuk tahun-tahun yang akan datang kerana saya menjangka Dewan Yang Mulia ini akan bertukar wajah rupa daripada sebuah dewan yang tidak bermaya kepada sebuah yang bertenaga, maka dengan perubahan ini sudah tentu perbelanjaannya akan turut bertambah.

No comments: