Monday, March 02, 2009

Sentral: Sistem peta bendung jenayah

Pengawasan keselamatan PJ ditingkatkan di lokasi berisiko tinggi

PETALING JAYA: Dalam usaha merealisasikan Petaling Jaya untuk terus menjadi sebuah bandar raya selamat dan bebas daripada ancaman keganasan dan jenayah, satu sistem dikenali sebagai Sistem Pemetaan Maklumat Geografi Jenayah (GIS) diperkenalkan bagi menjamin keselamatan warganya. 

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata sistem berkenaan dilihat mampu membendung kadar jenayah daripada meningkat di kawasan Petaling Jaya sekali gus mewujudkan persekitaran sihat dan selamat kepada komuniti di sini. 

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah melaksanakan 23 langkah yang disyorkan di bawah program Bandar Selamat dan percaya menerusi perkongsian maklumat jenayah menerusi sistem ini tumpuan akan dapat diberikan kepada tempat yang berisiko tinggi, katanya.

“Saya percaya dengan peruntukan sebanyak RM43,500 bagi pelaksanaan program Bandar Selamat pada tahun ini serta RM43,800 bagi kerja penyediaan peta pada 2007, sistem ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak polis mengenal pasti dan memberi lebih pengawasan terhadap lokasi jenayah yang berisiko tinggi. 

“Selain itu, maklumat yang diperoleh dapat digunakan untuk menentukan lokasi cadangan balai polis yang sesuai di rumah kedai, lokasi pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan kawasan pembangunan semula landskap supaya risiko berlakunya jenayah dapat dikurangkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan GIS Crime Base Mapping atau Sistem Pemetaan Maklumat Geografi Jenayah kepada Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin di sini, baru-baru ini. 

Hadir sama, Pengarah Urusan Integrated Geoplanning Sdn Bhd, Zaini Nordin; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MBPJ, Sharipah Marhaini Syed Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Bandar Selamat Petaling Jaya, Lau Weng San. 

Sistem yang sudah dipraktikkan di Australia itu antara lain adalah kerjasama antara MBPJ dan Integrated Geoplanning Sdn Bhd di mana maklumat diperoleh daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sebelum data berkenaan disalurkan kepada MBPJ menerusi sistem berkenaan bagi mengenal pasti lokasi berlakunya jenayah. 

Mohamad Roslan berkata, sebanyak 30 unit CCTV akan ditambah untuk pemasangan di sekitar Petaling Jaya selain 22 unit CCTV sedia ada bagi digunakan dalam merangka strategi mewujudkan tahap keselamatan orang ramai serta membanteras penjenayah.  Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web MBPJ.

No comments: