Friday, March 13, 2009

Program sabotaj kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri

YB Tuan Teng Chang Khim
Tuan Speaker, 
Pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor,
Tingkat 1, Bangunan Annex,
Dewan Undangan Negeri Selangor,
40680 Shah Alam, Selangor.
Telefon: 03-5544 7615/16/17/18, 03-5544 7422
Faks: 03-5510 4055, 03-5544 7436

YB Tuan Speaker,

Pemberitahu usul untuk membawa perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan di bawah Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 17(2):.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Ini adalah untuk memberi notis di bawah Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 17(2) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku YB Tuan Lau Weng San untuk membawa satu perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan di bawah Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 17(1) pada 13 Mac 2009 hari Jumaat seperti di bawah:

“Bahawa di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1), Dewan ini memberi laluan kepada Yang Berhormat ADUN Kampung Tunku untuk membawa satu usul berkenaan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan, iaitu: Pelaksanaan program people centric oleh pejabat Pembangunan Negeri Selangor dengan matlamat menjatuhkan kerajaan negeri Selangor adalah satu penyalahgunaan kuasa yang bercanggahan dengan prinsip demokrasi.

“Dewan ini digemparkan dengan pelaksanaan program people centric oleh pejabat Pembangunan Negeri Selangor yang dibongkarkan di Dewan ini dua hari yang lalu. Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Bil. 1/2009 bertarikh 26 Februari 2009, program ini dirangka dengan matlamat menjatuhkan kerajaan negeri Selangor. Ini adalah satu penyalahgunaan kuasa.

“Antara tujuan program ini ialah meningkatkan sokongan rakyat kepada kerajaan persekutuan dengan meningkatkan imej dan kredibiliti pemimpin, sekaligus menjatuhkan imej dan kredibiliti pembangkang. Program ini juga bertujuan untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-13 dengan majoriti dua pertiga di Parlimen dan membantu Barisan Nasional menawan kembali negeri Selangor daripada pembangkang.

“Malahan antara anggota-anggota Task Force yang dicadangkan untuk program ini ialah Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pillihanraya (SPR). Ini menimbulkan tanda soal. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh SPR dalam menjalankan program mesra rakyat? Apakah udang di sebalik batunya? 

“Justeru itu, adalah jelas bahawa program ini juga merupakan tindakan subversif untuk menyabotaj kerajaan Pakatan Rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor untuk mentadbir negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu. Tindakan ini pasti akan mendatangkan kesan-kesan negatif kepada rakyat Selangor secara umum. 

“Lebih-lebih lagi, Kerajaan Persekutuan tidak harus menyalahgunakan jentera kerajaan untuk menjalankan agenda politiknya. Padahalnya, Kerajaan Persekutuan harus menerima keputusan rakyat dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk sama-sama membangunkan Selangor demi kepentingan rakyat.”

“Perkara ini juga perlu disegerakan memandangkan rakyat dan kerajaan Selangor perlu menumpukan segala perhatian menghadapi kegawatan ekonomi pada setiap masa sekarang dan tidak terus dikacau ganggu oleh tindakan sabotaj ini.”

Sekian terima kasih.

Yang benar,

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: