Wednesday, March 11, 2009

Exco S'gor antara tiga wakil DAP dituduh berhimpun haram

Tiga wakil rakyat DAP dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini bagi tuduhan terlibat dalam perhimpunan haram bersempena sambutan ulang tahun demonstrasi Bersih, Oktober lalu.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kim Wee; exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San bersama 18 lagi akan dibicarakan enam hari.

Hakim Rozina Ayob menetapkan perbicaraan pertama berlangsung selama tiga hari bermula 10 November ini, manakala tiga hari lagi bermula 8 Disember.

Mereka didakwa menyertai perhimpunan haram di Laman MBPJ di hadapan Bangunan Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ) antara 9.50 dan 10.10 malam 9 Okt 2008.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengingkari perintah bersurai yang diberikan oleh seorang pegawai polis, Supt Mohamad Sulong, pada masa dan tempat yang sama.

Mereka didakwa bawah Seksyen 27(5)(a) dan Seksyen 27(4) Akta Polis.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum setahun bagi setiap pertuduhan.

No comments: