Hati saya tertanya-tanya, bagaimana DAP boleh dituduh sebagai anti-Islam dan anti Melayu kerana dalam parti DAP sendiri pun terdapat juga ahli-ahli berketurunan Melayu biarpun bilangannya sedikit berbanding dengan PAS, UMNO dan KeADILan.
Isu melarang penjualan bir dan minuman beralkohol telah sengaja dibesar-besarkan oleh pihak-pihak tertentu, khususnya UMNO dan media-media yang dikuasai mereka.
Hari ini, adalah amat jelas bagi kita apabila Perdana Menteri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor secara terang-terang mengatakan bahawa beliau mahu menawan semula Selangor daripada Pakatan Rakyat. Beliau turut mengatakan bahawa Selangor merupakan nadi negara dan BN mempunyai peluang cerah untuk menawan Selangor jikalau parti-parti komponen BN yang diketuai UMNO bersedia untuk berubah.
Ucapan ini disampaikan beliau semasa beliau membuka Persidangan Agung UMNO Bahagian Kuala Selangor pada awal hari ini.
Sudah jelas bahawa bermula dengan isu siasatan SPRM terhadap ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, diikuti dengan tuduhan pejabat Exco PR digunakan oleh kongsi-kongsi gelap sebagai tempat bermesyuarat, kini dengan isu melarang penjualan minuman beralkohol (sama ada bir atau minuman keras), Kesemua isu ini telah dibesar-besarkan oleh media dan pemimpin-pemimpin BN untuk mengucar-kacirkan PR Selangor dan sekaligus memecah-belahkan kesefahaman yang telah dicapai oleh ketiga-tiga buah komponen parti PR Selangor.
Kalau saya tidak silap, isu ini pernah dibangkitkan oleh PAS akhir tahun lalu, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi (pada masa itu masih bergelar Dato' Seri) menjadi Perdana Menteri. Kalau UMNO benar-benar memperjuangkan hak dan kepentingan Muslim, maka seharusnya merekalah yang patut membesar-besarkan dan menghebah-hebahkan isu ini pada masa itu dan bukan menunggu sehingga sekarang, apabila Perdana Menteri sudah bertukar, barulah mereka bercadang hendak memperjuangkan hak orang Islam dengan mengapi-apikan isu ini.
Maka dengan itu, keghairahan UMNO dan media mereka seperti Utusan Malaysia yang baru-baru ini begitu prihatin untuk memperjuangkan prinsip Islam tidak harus dibaca dan ditaksir dari muka rupanya sahaja. Memang ada udang di sebalik batu.
Kalau benarlah mereka begitu jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan prinsip Islam dan mendesak mengharamkan penjualan minuman beralkohol di kawasan majoriti Muslim, maka mereka juga harus melakukan yang sama di negeri dan tempat yang diperintah BN. Jangan mereka kuat menuding jari terhadap PR Selangor sedangkan mereka sendiri tidak mahu melakukan di tempat mereka sendiri.
Jikalau benarlah mereka hendak mengharamkan penjualan minuman beralkohol di kawasan majoriti Muslim di Selangor, kononnya cara ini dapat mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja Muslim yang dikatakan telah sampai ke tahap kritikal kerana remaja-remaja Muslim mudah membeli minuman ini kedai-kedai serbaneka yang dibuka 24 jam sehari, maka saya ingin menanya, bagaimana kita hendak memberi takrifan berjaya atau gagal dasar ini? Apa yang akan dilakukan nanti jikalau tindakan pengharaman ini langsung tidak memperlihatkan keberkesanannya? Adakah dasar ini akan dibatalkan? Ataupun nanti kita pula hendak mencari sesuatu lagi untuk diharamkan untuk menutup kegagalan kita?
Jikalau kita dapat menjawab soalan-soalan ini dengan baik, maka saya cadangkan kita haramkan penjualan minuman beralkohol bukan sahaja di kawasan majoriti-Muslim, malahan kita haramkannya juga di kawasan-kawasan majoriti bukan Muslim dengan syarat kita gerenti masalah sosial dapat diatasi.
Sanggupkah kita melakukannya? Adakah kita yakin dasar ini akan berkesan? Saya menyerah kepada para pembaca untuk menilai sendiri. Yang penting ialah kita tidak boleh mengikut buta tuli apa yang dilaung-laungkan oleh mereka yang mempunyai agenda sendiri sahaja.
No comments:
Post a Comment