Friday, August 14, 2009

Mengapakah SPRM belum menyiasat kes rasuah BN yang dilaporkan lebih awal daripada kes Rodziah?

Sebuah badan NGO bernama GERAK yang diketuai oleh Mohd Nazree Mohd Yunos telah pada 30 Julai 2009 membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap YB Rodziah Ismail, EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Batu Tiga berkenaan dengan beberapa tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan peruntukan DUN Sementa yang diangkat oleh YB Rodziah Ismail sebanyak RM375,000.
Rentetan daripada itu, SPRM telah memulakan siasatan dan pada 5 Ogos 2009, SPRM telah melawat ke Pejabat YB Rodziah Ismail untuk mendapatkan maklumat lanjutan berkenaan dengan aduan yang dibuat oleh GERAK.
Saya berasa aneh dan tidak faham dengan tindakan SPRM ini kerana saya telah pada 17 Julai 2009 membuat laporan terhadap SPRM tentang bekas ADUN Kampung Tunku yang menghabiskan peruntukan sebanyak RM500,000 dalam masa kurang daripada tiga bulan pada tahun 2008.
Jikalau saya yang membuat laporan jauh lebih awal daripada GERAK, maka sepatutnya SPRM menjalankan siasatan ke atas aduan saya dengan lebih awal, sekurang-kurangnya lebih awal daripada aduan yang dibuat oleh GERAK memandangkan GERAK membuat laporan SPRM jauh lebih lewat daripada saya.
Walaupun begitu, apa yang berlaku adalah yang sebaliknya. SPRM memilih untuk mengambil tindakan terhadap laporan GERAK dan mengetepikan laporan saya.
Bukankah ini satu tindakan berat sebelah? Kalau SPRM selama ini mengatakan mereka akan bertindak adil terhadap semua, mengapa pula kali ini mereka memilih bulu dalam siasatan mereka?
Lebih-lebih lagi, dokumen yang diserahkan kepada SPRM oleh GERAK merupakan dokumen yang dihantar kepada mereka oleh seorang yang tidak diketahui, manakala maklumat yang saya serah kepada SPRM merupakan dokumen rasmi yang diperolehi daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.
Maka dengan itu, saya meminta SPRM memberi satu penjelasan kepada saya tentang perkembangan terbaru terhadap kes yang dilaporkan oleh saya itu.

No comments: