UMNO perlu bertindak ikhlas dan bukan berpoliticking dalam isu larangan menjual minuman beralkohol. Untuk beberapa minggu yang lalu, UMNO dan Utusan Malaysia telah menggunakan isu larangan menjual minuman beralkohol untuk menyerang PAS dan Pakatan Rakyat Selangor.
Malahan UMNO dan Utusan Malaysia telah mencampur-adukkan isu ini dengan isu-isu perkauman dan agama yang lain dan melancarkan serangan dan fitnah yang tidak berasas dan terhadap DAP, kononnya DAP anti-Islam dan anti Melayu.
Kalau UMNO betul-betul memperjuangkan Islam, maka saya mencabar UMNO jangan menuding jari ke atas PAS dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sahaja kerana mereka juga perlu melakukan yang sama di negeri-negeri yang mereka mentadbir.
UMNO juga perlu menggubal undang-undang Parlimen yang sedia ada, termasuk Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan kerajaan negeri dan PBT diberi kuasa yang lebih besar untuk melaksanakan dasar melarang minuman beralkohol.
Janganlah UMNO hanya bercakap kosong dan melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas kepada orang lain sedangkan mereka sendiri hanya melepaskan batuk di atas tangga sahaja.
Artikel 5 dalam Perlembagaan telah memberikan kebebasan kepada rakyat dalam isu penjualan minuman beralkohol manakala Artikel 75 dalam Perlembagaan juga menyatakan jika terdapat perbezaan dari segi undang-undang Persekutuan dan negeri.
Oleh itu, jikalau UMNO hendak menjadi jaguh orang Melayu dan orang Islam, maka saya bercadang kepada UMNO untuk melaksanakan dasar yang sama di negeri-negeri yang ditadbir oleh UMNO dan BN. Malahan saya mencabar UMNO sama ada mereka dapat menyakinkan parti-parti komponen yang lain di dalam BN untuk menerima dasar yang sama.
Jikalau UMNO dan Utusan Malaysia tidak memberanikan diri untuk melakukan apa yang disarankan saya, maka ini sekali lagi membuktikan hipokrasi dan ketidak-ikhlasan UMNO dan BN.
Berikutan dengan perbincangan larangan menjual minuman beralkohol di kawasan majoriti Muslim di Shah Alam, Menteri besar Selangor telah mengumumkan dasar “Kawalan-Kenditi” (Self-Regulating) di mana sepuluh (10) kedai serbaneka di kawasan sekitar Shah Alam tidak lagi menjual minuman beralkohol kepada pengguna.
Ia melibatkan 7-Eleven di Seksyen 2,6,19,11,13, 8, 7, 3, dan 7-Eleven di Jalan Kristal dan Jalan plumbum U7/7 di Seksyen 7. Sementara itu, untuk tujuh kedai 7-Eleven di Seksyen 16, 17, 20, 9, Seksyen 13 (bersebelahan Giant), Seksyen 13 (bersebelahan Hotel Carlton dan juga Seksyen 18, minuman beralkohol tidak lagi dipamerkan di rak minuman tetapi dijual di kaunter untuk pelanggan khusus seperti pelancong dan orang bukan Islam.
Ini merupakan langkah-langkah awal dan bijak daripada Kerajaan Negeri untuk memastikan minuman ini tidak dijualkan kepada mereka yang tidak memerlukannya dari segi undang-undang di mana keputusan ini juga tidak bercanggahan dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
No comments:
Post a Comment