Sunday, February 12, 2006

Mansuhkan AUKU - Beri Nafas Baru Kepada Mahasiswa

“Siapakah mereka untuk mengawal perasaan kita dan menyuruh kita untuk mengikut telunjuk mereka?”

Beginilah soalannya yang dilemparkan kepada kerajaan apabila salah seorang panelis yang menghadiri forum “Mansuhkan AUKU – Beri nafas baru kepada mahasiswa” yang dianjurkan oleh Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pada hari Sabtu yang lalu.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah disifatkan sebagai tidak selari dengan peruntukan-peruntukan hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ianya perlu dimansuhkan!

Forum yang dianjurkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dihadiri oleh kira-kira 40 orang peserta yang kebanyakannya wakil-wakil persatuan belia dan mahasiswa-mahasiswi di universiti-universiti tempatan.


Antara mereka yang dijemput termasuk bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Paduka Ibrahim Ali yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri seketika dahulu, pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Yusri Mohamad, Sdr Amer Hamzah yang juga merupakan seorang peguam yang terlibat dalam kes-kes yang melibatkan AUKU serta Pengerusi Kebangsaan DAPSY, Nga Kor Ming, Timbalan Pengerusi DAPSY, Su Keong Seong serta Setiausaha Kebangsaan DAPSY Loke Siew Fook.

Amer: Siapakah kerajaan untuk mengawal perasaan dan fikiran mahasiswa?

Peguam hak asasi manusia Amer Hamzah turut mengecam AUKU sebagai tidak selari dan bertentangan dengan bukan sahaja Perlembagaan Persekutuan tetapi juga Piagam Hak Asasi Manusia PBB dan beberap pengumuman hak asasi manusia antarabangsa yang lain.

“Sebagai contoh, Sekyen 15 (3) AUKU telah menolak sebarang pandangan bangkangan di kalangan mahasiswa. Kebebasan untuk bersuara telah ditolak bulat-bulat.” Beliau bertambah.

Amer telah menegaskan bahawa AUKU adalah unconstitutional dan kerajaan tidak harus memaksa untuk berfikir dalam cara yang ditentukan oleh kerajaan.

Siapakah mereka untuk menyuruh mahasiswa berfikir dalam cara yang mereka mahukan. Tuhan memberi kita roh untuk berfikir dan kerajaan tidak boleh mengongkong pemikiran mana-mana orang

“Pihak pemerintah menganggap mahasiswa tidak matang dan mentah sehingga mereka ingat mereka boleh mengawal fikiran orang lain. Demi kepentingan mereka, mereka melakukan ini demi menyebar propaganda mereka.” Kata Amer.

Amer juga mencadangkan supaya golongan mahasiswa mengadakan satu rangkaian kerja yang intim dengan golongan mahasiswa di luar negara untuk mendapat sokongan yang lebih kuat untuk memansuhkan AUKU.

Su Keong Seong: AUKU bertentang dengan Perlembagaan

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran forum ini Su Keong Siong dalam ucapan pengauannya tekah mengatakan bahawa forum ini telah diadakan tepat pada waktunya di mana kerajaan telah mengumumkan bahawa satu rang undang-undang Akta Pengajian Tinggi Kebangsaan mungkin akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Jun ini.

“Memang kebelakangaan ini, banyak pihak telah memberi tekanan kepada kerajaan untuk memansuhkan AUKU kerana ianya telah menidakkan hak mahasiswa untuk berpersatuan khususnya mengambil bahagian dalam aktiviti politik”, beliau berkata.

Berliau bertambah bahawa ini adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Nga: AUKU turut larang pelajar Phd aktif politik

Nga Kor Ming dalam ucapan dasarnya turut menyentuh dengan lebih mendalam sifat-sifat represif AUKU.

“AUKU merupakan akta autokratik yang menyeluruh di mana mahasiswa-mahasiswi langsung dilarang daripada terlibat dalam mana-mana persatuan atau organisasi, dan ini termasuk pelajar-pelajar PhD!”

Berkenaan dengan kontradiksi yang tertimbul, beliau mengambil satu contoh di mana Perkara 10 dalam Jadual AUKU melarang mahasiswa untuk menyampaikan mana-mana pendapat terhadap pihak luar tetapi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan pula mengizinkan hak bersuara setiap warganegara.

Beliau mengatakan bahawa walaupun bilangan universiti di Malaysia kian bertambah, tetapi mutu pengajiannya semakin merosot disebabkan sistem pendidikan yang mengongkong ini telah menjadi satu stereotaip yang hanya dapat melahirkan mahasiswa yang kurang prihatin terhadap isu-isu semasa.

Beliau juga membidas tindakan beberapa universiti yang menidakkan hak diwakili peguam oleh mahasiswa-mahasiswi yang terlibat.

“Mana-mana prosiding universiti tidak patut menafikan hak pelajar untuk mendapatkan bantuan guaman. Tindakan sebaliknya telah melanggar prinsip presumption of innocent”

Beliau bertambah lagi, “Sistem perlantikan Naib Canselor juga ialah salah satu sebab di mana autonomi universiti tergugat akibat campur tangan politik.”

Nga turut menegaskan bahawa pencapaian akademik haruslah menjadi kriteria utama dalam pemilihan Naib Canselor.

Ibrahim Ali: AUKU tidak relevan

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali turut mengkritik terhadap hipokrit kerajaan yang seringkali melaung-laungkan Malaysia sebagai mode negara-negara dunia ketiga sedangkan Malaysia sarat dengan pelbagai akta yang zalim dan regresif.

Kata beliau, “AUKU tidak seharusnya wujud di dalam sebuah negara yang demokrasi sekiranya Malaysia bercita-cita untuk melonjak menjadi pusat pengajian tinggi serantau.”

“AUKU adalah tidak relevan”, demikianlah rumusan beliau terhadap AUKU.

Beliau bagaimanapun berkata bahawa pemimpim-pemimpim mahasiswa harusnya memberanikan diri untuk berkorban walaupun mengambil tahu fakta bahawa kebanyakan mahasiswa hari ini terpaksa bergantung kepada biasiswa atau pinjaman kewangan kerajaan untuk membiayai kos pengajian dan kehidupan di universiti-universiti.

Beliau turut mengingatkan bahawa pertubuhan-pertubuhan mahasiswa harus berwaspada terhadap Cawangan Khas yang seringkali meresap ke dalam organisasi mahasiswa dan melumpuhak aktiviti mereka.

Yusri: Pertukaran strategi diperlukan

Yusri Mohamad pula mengatakan bahawa walaupun AUKU membekalkan satu struktur asas untuk mentadbir sesebuah universiti, tetapi ini tidak boleh dijadikan sebab mengapa AUKU masih perlu dikekalkan.

“Usaha mesti dipertingkatkan bagi membawa sebarang pertukaran. Pengorbanan dan pertukaran strategi adalah penting”, katanya.
Yusri bertambah bahawa kewujudan AUKU telah mewujudkan suasana takut di kalangan komuniti universiti di mana usaha memansuhkan AUKU bukan senang untuk mendapatkan sokongan daripada mahasiswa.

“Kita perlu menjadikan AUKU ini sebagai sebab de facto kerajaan dalam mempertimbangkan mandat. Realiti masyarakat umum perlu diambil kira apabila mereka belum dapat terima perubahan besar dan perkataan ‘Mansuh’ perlu ditukar kepada ‘Tukar’ kerana mahasiswa tidak dapat menerima perkataan ‘mansuh’.”

“Sedikit tolak-ansur diperlukan kerana kita perlu berkembang dari semasa ke semasa. Jikalau mementum untuk reform menjadi statik, maka kita hanya dapat menarik sokongan daripada hardcore supporters dan tidak dapat berkembang.”

Loke Siew Fook: Kesal dengan scenario ‘3M’ di kampus masa kini

Panelis yang terakhir, Loke Siew Fook turut menyuarakan pandangan yang sama bahawa strategi perjuangan perlu ditukar.

Beliau turut menyifatkan Akujanji sebagai salah satu alat untuk mewujudkan ketakutan di kalangan warha kampus dalam nama AUKU. Ini juga boleh berlaku dalam rang undang-undang Akta Pengajian Tinggi Negara yang akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Loke turut berasa kesal dengan scenario pelajaran di kampus pada masa kini di mana ‘sistem 3M’ iaitu ‘Menyalin, Manghafal dan Muntah balik’ nota begitu berleluasa di kalangan warga kampus masa kini.

“Adakah mahasiswa telah bersedia untuk menyahut cabaran globalisasi?” tanya beliau lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemansuhan AUKU bukan sahaja memulihkan hak mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam politik tetapi juga hak dan kebebasan asas mereka sebagai warga negara Malaysia. Kesedaran sebegini yang perlu ditanam di dalam minda mereka.

No comments: