Tuesday, December 19, 2006

Satu lagi kes penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai PBT

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) harus mengambil tindakan disiplin terhadap dua orang penguatkuasanya, iaitu Abu Samat bin Harun dan Encik Mohd Redzuan bin Azizan.

Pada 13hb November 2006, kedua-dua orang pegawai ini berada di TAK Engineering Work yang beralamat di No. 62, Jalan SS14/2A, 47500 Subang Jaya, Selangor untuk menyemak lesen perniagaannya. Pada masa itu, tuanpunya kedai, iaitu Encik Chan Chee Tak tiada di dalam kedai dan hanya isterinya, Puan Lee Siew Fong dan anaknya Cik Chan Choy Lee yang berada dalam kedai.

Oleh kerana permohonan lesen perniagaan Encik Chan masih dalam pemprosesan, maka atas permintaan kedua-dua orang pegawai ini, Cik Chan Choy Lee telah menunjukkan satu dokumen daripada MPSJ yang bernombor siri MPSJ.186/9/7-330BSJ. Walaupun begitu, kedua-dua orang pegawai ini tidak mengiktiraf dokumen ini dan mengatakan bahawa mereka akan mengeluarkan saman kepada tuanpunya atas sebab menjalankan perniagaan tanpa memohon lesen daripada MPSJ.

Cik Chan Choy Lee kemudian tidak berpuas hati dengan tindakan kedua-dua orang pegawai ini dan bertelingkah dengan mereka dengan mengatakan bahawa surat daripada MPSJ itu sebenarnya telah menjelaskan bahawa lesen perniagaan telahpun dikeluarkan kepada mereka dan apa yang berlaku sekarang ialah mereka masih menunggu lesen perniagaan itu untuk dikeluarkan kepada mereka. Kedua-dua pegawai ini tidak menghiraukan penerangan cik Chan Choe Lee dan terus mengeluarkan kata-kata kesat dengan mengugut untuk membunuhnya dan meminta Puan Lee Siew Fong untuk menghisap kemaluan suaminya, iaitu Encik Chan Chee Tak.

Encik Chan Chee Tak kemudian telah membuat laporan polis berkenaan dengan kejadian yang tidak adil ini. Perisitiwa ini juga pernah dibangkitkan oleh Encik Chan Chee Tak sendiri dengan pegawai-pegawai atasan MPSJ tetapi mereka masih belum memohon maaf daripada Encik Chan Chee Tak.

Saya juga telah mengefaks dan mengemel satu surat kepada MPSJ pada 1hb Disember 2006 untuk meminta MPSJ memberi satu penjelasan terhadap perkara ini. Saya juga menyebut dalam surat saya itu supaya satu surat minta maaf rasmi boleh dikeluarkan dalam masa dua minggu kepada Encik Chan Chee Tak supaya Encik Chan Chee Tak boleh membatalkan kes ini dengan pihak Polis. Sehingga sekarang, saya masih belum menerima apa-apa berita ataupun panggilan telefon daripada MPSJ.

Ini sudah pasti merupakan satu peristiwa yang mengecewakan dan boleh dikatakan bahawa kita seringkali mendengar kejadian penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai PBT tetapi ini mungkin merupakan kali pertama apabila seseorang peguatkuasa MPSJ sanggup mengeluarkan kata-kata kesat yang begitu tidak sopan untuk memalukan pembayar cukai.

Saya menyeru supaya MPSJ memandang serious terhadap peristiwa ini dan memohon maaf daripada Encik Chan Chee Tak, isterinya dan anak perempuannya kerana tindakan kedua-dua orang penguatkuasa ini sebenarnya telah melanggari Kanun Keseksaan.

Saya juga ingin memuji Encik Chan Chee Tak atas keberaniannya untuk berdiri memperjuangkan haknya sendiri apabila beliau telah dilayani dengan tidak adil. Saya juga berharap orang ramai dapat mencontohi Encik Chan Chee Tak atas keberaniannya dan berharap mana-mana individu yang dilayani dengan tidak adil oleh mana-mana pegawai PBT tidak mendiamkan diri tetapi tampil ke hadapan untuk menegakkan keadilan.

No comments: