Friday, June 27, 2008

Selangor Mahu Konsep Bina Dan Jual Dilaksanakan

PETALING JAYA, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor mahu projek pembangunan di negeri itu dilaksana berdasarkan konsep bina dan jual kerana ia lebih berdaya maju.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata konsep tersebut akan mula dilaksanakan menerusi projek baru Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Walaupun lesennya dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan, kita akan mencadang dan melaksanakan di Selangor secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Masyarakat Taman Medan di sini Ahad.

Beliau berkata menerusi konsep bayar dan bina, ia sering menyebabkan pembeli ditipu oleh pemaju, yang dalam kebanyakan kes pemaju gagal menyiapkan projek atau mematuhi spesifikasi pembinaan.

Di Selangor, dilaporkan terdapat 114 projek terbengkalai sejak enam tahun lepas, yang kosnya bernilai lebih RM1 bilion, katanya.

Khalid berkata beliau akan membawa isu projek perumahan terbengkalai dan cara mengatasinya ke Dewan Rakyat.

"Kita juga akan mempertimbangkan untuk memberi insentif kepada pemaju bagi menggalakkan mereka menggunakan konsep bina dan bayar.

"Bagi projek terbengkalai, kita akan cuba mencari pemaju dan pembelinya dan berunding dengan pihak bank tentang cara menyelamatkan projek tersebut," katanya.

Khalid berkata pangkalan data berhubung pemaju yang gagal menyiapkan projek sedang disiapkan untuk menyenarai hitam mereka daripada mendaftar untuk memohon projek baru.

-- BERNAMA

No comments: