PUSAT KHIDMAT ADN BANTING
NO. 81, TINGKAT 1, JALAN TELUK BUNUT, TAMAN DELIMA, 42700 BANTING.
TEL: +6-012-6834724, +6-012-6924724,
EMAIL: lauwengsan@gmail.com
https://linktr.ee/lauwengsan
Service centre hour: 9am to 5pm (Monday to Friday)
Thursday, April 12, 2012
Penukaran pinjaman pelajaran PTPTN kepada biasiswa perlu diberi kepada semua graduan kelas pertama
Kerajaan persekutuan berlaku tidak adil kepada graduan kelas pertama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memulakan pengajian mereka selepas tahun 2005 dan menamatkan pengajian mereka sebelum tahun 2010 kerana mereka perlu membayar balik pinjaman PTPTN mereka sedangkan selepas tahun 2010, graduan kelas pertama tidak perlu berbuat demikian.
Kerajaan persekutuan pada tahun 2010 telah menetapkan bahawa pinjaman pelajaran semua graduan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama mulai tahun 2010 akan ditukar kepada biasiswa.
Perkara ini perlu diberi perhatian serious berikutan perbincangan hangat baru-baru ini berkenaan dengan cadangan untuk menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa kepada semua mahasiswa-mahasiswi.
Kerajaan persekutuan tidak harus berbangga dengan kenyataan bahawa penukaran daripada pinjaman pelajaran kepada biasiswa telah diberi kepada graduan kelas pertama sedangkan masih terdapat segolongan kecil graduan kelas pertama tidak dapat menikmati manfaat ini seperti apa yang diterangkan tadi.
Dasar menukar pinjaman pelajaran kepada biasiswa telah dilaksanakan sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada mahasiswa-mahasiswi yang mencapai kecemerlangan dalam prestasi akademik mereka dan secara tidak langsung sebagai satu bentuk dorongan dan motivasi kepada mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian mereka.
Terdapat kecacatan dalam dasar ini kerana penukaran ini hanya diberi kepada mereka yang menamatkan pengajian mulai tahun 2010 sahaja. Bagi graduan-graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang menandatangani perjanjian PTPTN selepas 1 Julai 2005 dan tamat sebelum tahun 2010, mereka tetap perlu membayar balik pinjaman ini dengan kadar bunga yang ditetapkan.
Pada masa yang sama, graduan yang menandatangani perjanjian dengan PTPTN sebelum 1 Julai 2005 dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pula diberi pengecualian yang sama. Justeru itu, dasar ini adalah tidak adil untuk mereka yang menandatangani perjanjian dengan PTPTN selepas 1 Julai 2005 dan menamatkan pengajian mereka sebelum 2010.
Graduan-graduan ini telah menulis kepada kerajaan persekutuan sebelum ini dan menuntut supaya mereka diberi layanan yang adil dan saksama dan perkara ini tetapi tidak dilayan dan sehingga sekarang tiada apa-apa maklum balas secara rasmi daripada kerajaan berkenaan dengan kes ini.
Malahan saya juga telah menulis kepada Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Bin Nordin pada 10 Januari 2012 dan menerangkan perkara yang sama kepada beliau. Saya juga telah menyerah satu memorandum kepada Menteri pada bulan Februari 2012 tetapi sehingga ke hari ini saya belum menerima apa-apa jawapan sama ada daripada beliau atau wakil beliau.
Saya berasa kecewa dengan sikap Kementerian Pengajian Tinggi dalam menangani isu ini kerana sepatutnya Kementerian patut memberi jawapan sama ada permohonan graduan-graduan ini diterima atau tidak dan bukannya berlengah-lengah dalam perkara ini sehingga tiada satu jawapan konkrit diberi kepada mereka sehingga sekarang. Saya juga berasa kecewa kerana Kerajaan Persekutuan harus berlaku adil kepada semua graduan Ijazah Kelas Pertama dan bukannya memilih kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment