Saturday, May 10, 2025

Ucapan Memperingati Pemergian Mangsa-mangsa Peristiwa 513 anjuran Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor pada 10 Mei 2025 di Tapak Perkuburan Mangsa Peristiwa Mei 13 Sungai Buluh

        Masih segar dalam ingatan saya semasa saya hadir ke kelas pertama Sejarah Tingkatan Satu di SMJK Sam Tet pada tahun 1992, apabila guru sejarah bertanya kepada kami: “Apakah tujuan kami belajar Sejarah?”

        Saya menjawab pada masa itu: “Kerana kita perlu belajar daripada kesilapan dulu seperti Peristiwa 513.”

Masih segar dalam ingatan saya, apabila saya mula dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri bagi kawasan Kampung Tunku, Petaling Jaya Utara, saya pernah menganjurkan sebuah forum bertemakan “Dari 513 ke 1Malaysia”.

Pada masa itu saya hanya ingat hendak membuat sesuatu untuk memperingati mereka yang terkorban dan mengajak rakyat berbilang kaum untuk bangkit daripada peristiwa sedih ini untuk memupuk semangat kekitaan.

        Tidak pernah terlintas fikiran saya pada masa itu bahawa saya sedang melakukan sesuatu yang berkemungkinan besar boleh diapi-apikan oleh puak-puak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

        Juga tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa tidak lama selepas tahun 2009, apabila penganjur program hari ini berjaya menemui peninggalan tapak kubur mereka yang terkorban dalam peristiwa hitam tersebut, sehingga memorial diadakan setiap tahun untuk memperingati mereka.

        Dan kita tidak pernah lupa kata-kata mereka yang pernah datang ke memorial sebelum ini, iaitu seruan kepada kerajaan untuk menyiasat peristiwa ini, dan seruan agar ianya tidak lagi menjadi taboo di kalangan masyarakat, agar melapangkan dada untuk berbicara dan membina iltizam perpaduan negara.

        Saya berasa bangga bahawa pada November 2024, kerajaan negeri Selangor telah mewartakan tanah perkuburan ini untuk diuruskan oleh Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (PESAWA), menjadikan tanah warisan ini dapat bukan sahaja dapat dikekalkan tetapi dipelihara dan dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.

        Pada 4 Mei 2025, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menggesa kerajaan agar memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional bagi memupuk semangat hormat-menghormati, memelihara kepelbagaian serta melindungi komuniti daripada ucapan kebencian, hasutan dan diskriminasi.

        Gesaan ini ialah cadangan yang sangat diperlukan bagi menyekat isu kebencian dan hasutan. Kewujudan akta yang dikhaskan bagi menjaga keharmonian di samping mengekang ucapan kebencian adalah satu langkah yang pragmatik dan progresif dalam mewujudkan negara yang berpegang teguh pada prinsip perpaduan.

        Dewasa ini, negara kita kerap dihujani dengan pelbagai isu membabitkan keharmonian seperti isu agama dan kaum malah semakin banyak isu perkauman sedang dimainkan dengan begitu hebat sekarang.

        Oleh itu jika tiada usaha diambil perkara ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada perpaduan. 

        Saya ingin mengambil satu langkah ke depan lagi dengan menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk menggubal RUU supaya tindakan yang merosakan keharmonian nasional ini boleh dihukum tanpa menjejaskan kebebasan bersuara rakyat.

        Ketiga, mempertimbangkan cadangan untuk menyahwartakan pada masa yang sesuai, sama ada semua atau sebahagian secara berperingkat, dokumen rasmi yang berkaitan dengan Peristiwa 513 daripada Rahsia Rasmi Kerajaan dan dijadikan sebagai dokumen umum untuk membolehkan perbincangan dan penyelidikan ilmiah dijalankan terhadap topik ini.

        Malaysia kini sudah lebih separuh abad mencapai kemerdekaan melalui persefahaman, kasih sayang dan perpaduan oleh pelbagai kaum.

        Sebagai sebuah negara yang matang dan dewasa, kita memerlukan sebuah akta untuk memelihara dan memulihara keharmonian nasional serta menghalang ucapan berbaur kebencian oleh mereka yang gemar membakar api perkauman. 

        Akta-akta yang dicadangkan ini merupakan senapang dua hala yang boleh membanteras kebencian serta memupuk keharmonian antara kaum.

        Jadi sudah tiba masa kita menggunakan kuasa Legislatif untuk meluluskan akta perundangan yang memupuk perpaduan. Hanya dengan ini memorial ini akan lebih bermakna dan dibanggakan generasi akan datang. Kita tidak perlu menyesal kerana inisiatif ini gagal tetapi meyesallah apabila kita pula yang mensia-siakan peluang depan mata untuk melalukan sesuatu yang baik.

YB Lau Weng San

Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor.

No comments: