Friday, April 18, 2008

Risau jenayah meningkat


PETALING JAYA 16 April - Suasana persekitaran memang selesa. Jiran-jiran semuanya mesra dan baik-baik belaka.

Pendek kata, tidak nampak sebarang masalah bagi penduduk-penduduk di Seksyen 22 di sini.Namun, suasana tenang dan selesa itu mula beransur hilang apabila beberapa kejadian jenayah terutama kes pecah rumah yang ada kaitan dengan kegiatan penagihan dadah semakin kerap berlaku di kawasan itu sejak akhir-akhir ini.

Menurut penduduk, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada peningkatan kejadian jenayah itu termasuk kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati kebimbangan penduduk terbabit memang ada asasnya dan sebahagian besarnya berpunca dari dua faktor.

Faktor tersebut ialah terdapat sebuah rumah kosong yang sudah lama ditinggalkan dan yang kedua ialah kawasan perkuburan Islam di situ yang tidak mempunyai pintu pagar.

Menurut penduduk, banglo dua tingkat di Jalan SS 22/40 yang ditinggalkan sejak beberapa tahun lalu kerap menjadi destinasi persinggahan penagih dadah terutamanya pada waktu malam.

Kata mereka, banglo itu memang selesa bagi kumpulan penagih dadah kerana selain tidak diganggu oleh sesiapa termasuk pihak berkuasa, banglo itu juga masih ada perabot yang ditinggalkan oleh penghuninya dahulu.

Seorang penduduk, Aida Sharif, 40, yang tinggal di belakang rumah tersebut berkata, halaman rumahnya sering dicerobohi oleh orang luar tidak dikenali.

"Mereka menceroboh semata-mata kerana hendak memanjat tembok yang bersempadan antara rumah saya dan rumah kosong tersebut,'' katanya.

Menurutnya, rumah kosong berkenaan sudah hampir empat tahun tidak berpenghuni dan dia dimaklumkan yang pemilik banglo tersebut sudah meninggal dunia dan tidak diketahui siapa warisnya.

"Saya sekeluarga dan jiran-jiran yang lain sentiasa risau pada waktu malam kerana rumah kosong berkenaan sering didatangi tetamu yang tidak diundang,'' katanya.

PenagihDia berharap masalah itu diambil serius oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan mengambil pasti warisnya dan meminta pihak polis membuat intipan dan operasi bagi menangkap penagih dadah terbabit.

"Sebelum berlaku kes jenayah yang lebih serius, kami berharap pihak berkuasa adakan bertindak pantas untuk mencegahnya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rosie Tan, 50, memberitahu, sebuah kawasan perkuburan Islam yang tidak mempunyai pintu pagar dan pagarnya pula agak rendah juga mendatangkan masalah keselamatan kepada penduduk di situ.

Katanya, oleh kerana mudah dimasuki, kubur berkenaan sering menjadi laluan kepada penjenayah untuk melarikan diri setelah memecah masuk rumah penduduk di situ.

Katanya, pihak berkuasa sama ada MBPJ atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sepatutnya membina pagar yang sempurna untuk kawasan kubur berkenaan supaya ia tidak mudah dicerobohi, selain memastikan tempat itu tidak dicemari.

"Sekiranya kawasan kubur tersebut berpagar, penduduk di sini yakin penjenayah sukar untuk menceroboh atau menjadikan kawasan itu sebagai laluan dan tempat mereka bersembunyi,'' katanya.

Seorang lagi penduduk, Patrice Jose, 67, mengakui kejadian pecah rumah semakin meningkat di kawasan itu dan satu tindakan segera perlu diambil untuk mengatasinya.

Selain penagih dadah, dia percaya sebuah tanah kosong yang pagarnya sudah rosak dan hampir roboh bersebelahan kawasan perumahan itu menyumbang kepada masalah itu.

"Berikutan keadaan pagar itu, penjenayah begitu mudah menghilangkan diri selepas memecah masuk ke rumah penduduk kerana mereka tidak perlu menggunakan jalan raya," katanya.

Dia menambah, sebahagian kawasan perumahan di Jalan SS 22/51 yang terlalu gelap kerana tiada lampu jalan juga menyumbang kepada peningkatan kes jenayah.

"Kami ada adukan masalah ini kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi mereka kata, lampu berkenaan tidak boleh dipasang ekoran ada masalah teknikal tertentu,'' katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San yang dimaklumkan mengenai masalah itu, turun padang untuk mendengar sendiri rintihan penduduk di situ.

Beliau berjanji akan membawa masalah itu ke perhatian pihak polis, MBPJ dan TNB agar masalah jenayah itu dapat diatasi, seterusnya menghapuskan kebimbangan penduduk.

"Saya sedia maklum mengenai peningkatan ketara kes jenayah yang berlaku di kawasan sekitar Petaling Jaya dan masalah ini akan diberi perhatian serius.

"Matlamat kita ialah menjadi Petaling Jaya dan Selangor sebagai kawasan yang selesa dan selamat,'' katanya.

Sebagai langkah pertama, beliau akan berjumpa dengan pihak pengurusan TNB untuk meminta menambah bilangan lampu jalan di Jalan SS 22/51 seperti yang diminta oleh penduduk.

1 comment:

市长 said...

now even in puchong face this problem