Sunday, April 13, 2008

Selangor hapus tender rundingan secara terus

SHAH ALAM: Selangor akan menghapuskan sistem pemberian tender secara rundingan terus kepada kontraktor Bumiputera seperti diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk memastikan projek kerajaan tidak dimonopoli syarikat tertentu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat kerana mendapati kira-kira 98 peratus tender kerajaan dibuat secara rundingan terus kepada syarikat milik individu tertentu.

"Saya nampak projek di negeri ini tertumpu kepada kelompok tertentu saja. Nama syarikat yang mendapat tender itu berbeza, tetapi pemegang sahamnya orang yang sama,
" katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS) di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, beliau sedia mengumumkan senarai kontraktor yang diberikan projek kerajaan, tetapi perlu mendapatkan kebenaran pihak tertentu terlebih dulu yang didakwanya ada kaitan dengan pemberian tender itu.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan, syarikat kontraktor yang banyak mendapat kontrak kerajaan menerusi rundingan terus itu tidak akan disenarai hitam kecuali kontraktor yang gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan.

"Menyenarai hitam syarikat ini bukan langkah terbaik, tetapi kita akan tengok dan kaji nilai projek diberikan kepada kontraktor ini," katanya.

Sebelum itu, ketika berucap, Abdul Khalid berkata, beliau tidak akan menggunakan ‘pena sakti’ yang dikatakan menjadi milik Menteri Besar untuk meluluskan projek atau memberi kelulusan kepada kontraktor tertentu mendapatkan projek.

Katanya, kontraktor Bumiputera tidak boleh lagi datang ke pejabatnya mendapatkan surat sokongan atau `pena sakti’ bagi mendapat projek kerajaan.

"Tidak perlu lagi datang ke pejabat MB untuk dapatkan 'pena sakti'. Saya tidak ada 'pena sakti' ini kerana saya sudah buang," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri tetap memberi bantuan kepada kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan projek, tetapi perlu bersaing sesama sendiri dan kontraktor yang berupaya akan dipilih.

Mengulas lanjut mengenai ‘pena sakti’, Abdul Khalid berkata, sebelum ini Menteri Besar menggunakan ‘pena sakti’ membuat keputusan dan semua Exco serta pegawai kerajaan akan mengikut saja arahan itu.

"Sikap seperti ini sudah tidak ada lagi di negeri ini. Saya mahu semua terbabit sama membuat keputusan walaupun akhirnya keputusan akan dibuat dari pejabat Menteri Besar," katanya.

No comments: