Sunday, April 13, 2008

Bumbung dewan sekolah runtuh


Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

MARANG: Bumbung Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai di sini yang dibina tiga tahun lalu, runtuh tiba-tiba kira-kira jam 8.30 malam kelmarin walaupun ketika itu tidak ada hujan atau angin kuat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata dewan yang mampu menampung kira-kira 500 pelajar pada satu-satu masa itu dipercayai roboh akibat kekuda sendi yang menampung bahagian bumbung itu tidak kukuh.

Dewan dan sekolah berkenaan yang memiliki 20 kelas dengan 547 pelajar siap pembinaannya dan mula dibuka pada 2005.

Berikutan kejadian itu, Razali mengarahkan pegawai pembangunan kementerian itu bekerjasama dengan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah menyiasat punca kejadian dan memantau struktur bangunan lain sekolah berkenaan bagi memastikannya selamat.

"Saya tidak dapat bayangkan jika ada pelajar menjalankan aktiviti di dewan ketika kejadian itu berlaku kerana keseluruhan struktur bumbung runtuh.

"Ini kejadian luar biasa dan satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh kontraktor serta pemaju. Saya berharap bangunan sekolah lain terutama dewan yang menggunakan struktur sama disemak, diteliti dan dibuat pengesanan awal supaya kejadian sama tidak berulang," katanya yang melawat tempat kejadian semalam.

Beliau berkata, kontraktor perlu melihat semula sama ada pembinaan dewan besar sekolah bernilai RM2 juta itu menepati spesifikasi ditetapkan dan pihak terbabit perlu bertanggungjawab sepenuhnya apatah lagi sekolah yang baru digunakan tiga tahun lalu itu sudah beberapa kali menjalani proses baik pulih akibat kerosakan kecil.

"Saya dimaklumkan pengetua bahawa sejak dibuka beberapa laporan mengenai kerosakan kecil struktur bangunan sekolah ini sudah dibuat kepada Jabatan Pelajaran. Saya juga difahamkan pemaju sudah mengambil tindakan membaik pulih mana-mana kerosakan seperti keretakan.

"Kejadian ini (bumbung runtuh) kita tidak nampak dan tidak jangka kerana ia berada di atas. Apa yang penting ialah aspek penyelenggaraan bangunan itu harus sentiasa dilakukan pihak jabatan dan bahagian pembangunan kementerian. Ini penting untuk pastikan keselamatan apatah lagi kita sendiri mengamalkan konsep sekolah selamat," katanya.

Sementara itu, kontraktor Syarikat Yusuf Yassin Sdn Bhd yang bertanggungjawab dalam pembinaan sekolah berkenaan, Hazian Hashim berkata, daripada siasatan awal pihaknya mendapati sistem kekuda sendi bangunan itu yang kerja pembinaannya diupah kepada pakar daripada syarikat lain tidak kukuh menyebabkan bumbung dewan berkenaan runtuh.

"Dewan ini sudah melepasi tempoh kecacatan selama dua tahun. Cuma masih ada lima tahun lagi jaminan rekaan bangunan," katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah, Roslan Awang tidak menyangka bunyi kuat yang mulanya disangka deruman kapal terbang adalah bunyi runtuhan bumbung dewan besar sekolah itu.

"Ketika kejadian, saya dan 60 pelajar mengikuti tazkirah selepas solat maghrib di surau sekolah dan menyangka bunyi itu adalah deruman kapal terbang. Kami tidak mempedulikan bunyi itu sehingga diberitahu kira-kira jam 10 malam oleh seorang guru, bumbung dewan besar sekolah runtuh," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Razali.

No comments: