Tuesday, September 16, 2008

Laporan polis terhadap tomahan Khir Toyo


Saya dengan nama di atas ingin membuat satu laporan polis terhadap ADUN Sungai Panjang merangkap bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Khir Toyo yang telah membuat kenyataan yang palsu di laman blognya dalam satu tulisan bertajuk “Anwar Ibrahim, lain bengkak lain bernanah?” di mana kenyataannya telah diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 9hb September 2008 yang bertajuk “Ada usaha larang azan di masjid-masjid Selangor”.

Kenyataan Dato’ Seri Khir Toyo serta laporan Utusan Malaysia ini cuba membuat gambaran bahawa Ahli Parlimen Seputeh merangkap ADUN Kinrara/Exco Kannan Selangor YB Teresa Kok Suh Sim ialah petualang yang cuba malarang azan.

Utusan Malaysia cuba mengapi-apikan perkara ini dengan mengaitkan isu azan ini dengan isu tulisan Jawi atas papan tanda jalan, isu kemasukan UiTM dibuka 10% kepada pekajar bukan Bumiputera serta peruntukan 30% JAIS kepada pembangunan agama-agama lain. Ini telah ditunjukkan dalam satu artikel bertajuk “Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya…” pada 11hb September 2008

Dalam kes azan masjid, dua buah masjid telah terlibat iaitu Masjid Bandar Kinrara Seksyen 5 dan Masjid Kota Damansara. Dalam kes Masjid Kota Damansara, terdapat tuduhan bahawa tekanan bukan Islam telah memaksa Masjid tersebut menutup azan. Ini adalah tidak benar dan Ustaz Haji Hassan Basri, nazir masjid tersebut telah menyangkal tuduhan ini kerana ini berlaku akibat kerosakan teknikal sistem pembesar suara masjid yang masih dalam proses ujian oleh pihak kontraktor. Beliau juga menyatakan bahawa Masjid Kota Damansara baru dua minggu digunakan.

Dalam kes Masjid Bandar Kinrara Seksyen 5, Ustaz Abdul Rahman Nasir, nazir masjid tersebut pula menyatakan bahawa YB Teresa Kok tidak pernah datang ke masjidnya untuk mengetuai sebarang demonstrasi. Petisyen yang dikata-katakan itu merupakan petisyen yang ditulis oleh penduduk-penduduk berdekatan terhadap penggunaan pembesar suara semasa mengadakan ceramah, kuliah subuh dan kuliah maghrib pada awal pagi dan malam dan langsung tidak menyebut tentang azan.

Perkara ini juga telah diperjelaskan oleh seorang blogger “Pembela Melayu” dalam laman blognya tetapi masih tidak dihirau oleh Dato’ Seri Khir Toyo sehingga beliau terus berfitnah terhadap YB Teresa Kok Suh Sim.

Dengan ini, adalah jelas bahawa tuduhan yang dibuat terhadap YB Teresa Kok Suh Sim, yang menyebabkan beliau sekarang ditahan di bawah ISA adalah tidak berasas sama sekali. Saya dengan ini meminta PDRM untuk menyiasat tuduhan-tuduhan palsu yang dibuat oleh Dato’ Seri Khir Toyo dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perbuatan tidak bertanggungjawabnya serta membebaskan YB Teresa Kok Suh Sim dan jangan terikut-ikut dengan tuduhan liar dan khabar angin yang sengaja disebarkan untuk kepentingan-kepentingan politik UMNO. Sekian laporan saya.

1 comment:

KongKor said...

Keep the pressure up, I call upon all ADUNs and MPs to make more police reports in their respective constituencies.

Let's see what the police is going to do and what are their action or inaction.

The rakyat need to keep on mounting the pressure and the momentum