Monday, September 15, 2008

Kenyataan Salamon Salamat menjatuhkan air mukanya sendiri

Kenyataan Salamon Salamat, Ketua Bahagian UMNO Shah Alam dan bekas ADUN Batu Tiga yang mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Selangor menggunakan wang rakyat untuk membiayai yuran guaman untuk membebaskan Exco Teresa Kok daripada penahanan ISA, jelas menunjukkan Salamon Salamat berfikiran cetek.

Saya mengalu-alukan kesediaan kerajaan negeri untuk membantu membebaskan Teresa Kok daripada penahanan ISA biarpun Biro Guaman DAP telah memfailkan permohonan habeas corpus untuk YB Teresa Kok yang juga merupakan ADUN Kinrara dan Exco Pelaburan Kerajaan Negeri Selangor secara pro-borno.

Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat bersedia untuk membantu mana-mana pihak yang tertekan dan ditindas di bawah ISA.

Tambahan lagi, YB Teresa Kok merupakan salah seorang anggota pentadbiran kerajaan negeri dengan memegang portfolio pelaburan, satu portfolio yang cukup penting untuk menjamin pembangunan ekonomi negeri Selangor. Penahanannya di bawah ISA sudah pasti akan menjejaskan perjalanan jentera pentadbiran negeri biarpun Menteri Besar telah membuat persiapan yang diperlukan untuk menangani tugas-tugas yang sedang dikendali oleh YB Teresa Kok.

Dengan itu, kerajaan negeri berhak untuk menuntut supaya YB Teresa Kok dibebaskan dengan segera kerana ketiadaannya merupakan satu kerugian kepada kerajaan negeri Selangor.

Salamon Salamat perlu menyemak faktanya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang hanya akan menjatuhkan air mukanya sendiri.

No comments: