Tuesday, September 02, 2008

Laporan polis terhadap Ahmad Ismail



Saya telah membuat satu laporan polis pada hari ini mewakili DAP negeri Selangor. Laporan polis ini dibuat serentak dengan DAP negeri-negeri yang lain dengan tujuan yang sama, iaitu untuk mengheret Datuk Ahmad Ismail yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkauman semasa dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Saya membuat laporan ini dengan diiringi oleh ahli-ahli dan pemimpim-pemimpim DAP yang lain seperti Sdr YB Ronnie Liu (ADUN Pandamaran/Exco Selangor), Sdr YB Tony Pua (Ahli Parlimen PJU), Sdr T. Kannan, Sdri Tiew Way Keng (Ahli Majlis MBPJ), Sdr Francis Chang (Ahli Majlis MBPJ) dan lain-lain.

Datuk Ahmad Ismail telah mengeluarkan kenyataan bahawa Orang Cina di Malaysia merupakan pendatang (immigrant) dan mereka hanya menumpang di Malaysia dan tidak akan berlaku adil kepada kaum-kaum lain termasuk orang Melayu.

Kenyataan beliau semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh jelas mempunyai motif politik untuk membantu UMNO meraih undi orang Melayu dengan mempermainkan sentimen-sentimen perkauman. UMNO tahu mereka akan kalah tetapi mereka tidak rela kalah dengan begitu sahaja. Oleh itu, mereka sanggup mengeluarkan hujah-hujah seperti ini.

Kami tidak akan melepaskan Datuk Ahmad Ismail begitu sahaja. Rakan-rakan kami di seluruh negara telah membuat laporan polis dan kami berharap polis mengambil tindakan tegas terhadapnya. Sebelum ini, sudah banyak laporan-laporan polis dibuat terhadap pemimpim-pemimpim UMNO yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan perkauman pada masa dahulu tetapi tiada satupun yang pernah didakwa di mahkamah.

No comments: