Wednesday, September 17, 2008

10,000 penuhi Stadium MBPJ sambut hari pembentukan Malaysia

Dipetik daripada Sinar Harian

KELANA JAYA - Perhimpunan rakyat sempena 45 tahun pembentukan Malaysia yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini semalam berjaya menarik lebih 10,000 hadirin.

Majlis yang bermula seawal jam tujuh petang dimulakan dengan berbuka puasa di pekarangan stadium sebelum umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak dan terawih di padang stadium.

Selesai umat Islam menunaikan solat yang diketuai pegawai JAIS, Imran Nasuha, majlis diteruskan dengan ceramah oleh pemimpin daripada parti pembangkang.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim majlis ini disambut bagi memperingati hari pembentukan Malaysia yang penting selain memperingati hari kemerdekaan negara.

Menurutnya, tarikh 16 September juga penting seperti 31 Ogos dan semua rakyat akan terus bersatu bagi menjayakan dan memakmurkan negara yang tercinta ini.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memakmurkan negara ini dan membebaskannya daripada segala bentuk penindasan serta kezaliman daripada mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula berpendapat tarikh 16 September sebenarnya membawa makna yang besar kepada seluruh rakyat di negara ini.

“Rakyat perlu tahu dengan jelas bahawa pembentukan Malaysia adalah satu sejarah penyatuan yang paling sempurna di mana tanah Semenanjung bercantum dengan tanah Borneo di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Setiausaha Agung Pas Datuk Kamaruddin Jaafar pula berkata, kerajaan seharusnya merayakan hari penyatuan di antara semua negeri di Malaysia seperti juga hari kemerdekaan.

“Kerajaan Persekutuan seharusnya mengiktiraf tarikh 16 September sebagai hari penting dalam sejarah Malaysia dan merayakan tarikh tersebut,” katanya.

Laungan kemerdekaan dan kibaran bendera serta iringan sorakan bergema dalam stadium sepanjang kira-kira selama kira-kira lima jam majlis tersebut berlangsung.

No comments: