Tuesday, March 29, 2011

Berharap FOI dapat dibentang dan diluluskan sidang ini

[Ucapan (6) Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Mac 2011 di Shah Alam]

Kerajaan Selangor telah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2010 ke Dewan Yang Mulia ini pada tahun lalu. Sebuah Jawatankuasa Pilihan telah ditubuhkan pada tahun lalu untuk meneliti isi kandungan yang terdapat dalam RUU berkenaan.

Jawatankuasa Pilihan berkenaan dengan bermesyuarat dan mengadakan beberapa sessi pendengaran awam untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai, pertubuhan-pertubuhan NGO malahan daripada pegawai-pegawai kerajaan sendiri.

Hasil daripada mesyuarat dan pendengaran awam ini, Jawatankuasa Pilihan telah mengemukakan beberapa cadangan untuk meminda RUU berkenaan dan ianya harus dibentangkan ke Dewan Yang Mulia ini untuk bacaaan yang seterusnya.

Saya telah difahamkan bahawa cadangan pindaan oleh Jawatankuasa Pilihan ini mendapat sambutan positif daripada NGO-NGO yang prihatin terhadap Enakmen FOI ini.

Biarpun begitu, wajah rupa Enakmen FOI ini tidak mungkin serupa dengan apa yang diinginkan oleh para NGO. Sudah pasti terdapat beberapa perkara yang tidak dapat diserap ke dalam Enakmen ini.

Apa yang penting bahawa semangat di belakang Enakmen FOI ini sejajar dengan International Best Practice bahawa ianya memberi kebebasan yang ikhlas kepada orang ramai untuk memperolehi maklumat. Saya berharap Rang Undang-undang Enakmen FOI ini dapat dibentangkan kali ini supaya ianya dapat diluluskan.

No comments: