UCAPAN KHAS
YB TUAN LAU WENG SAN
TUAN SPEAKER DEWAN NEGERI SELANGOR
GENDER OUTLOOK FORUM 2026
“Reimagining Malaysia with 30% or 50% Female Representation in Decision Making Process”
Khamis, 24 September 2026 | 3:15 – 3:30 petang
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Pimpinan Wanita Berdaya Selangor, para penggubal dasar, penyelidik, rakan-rakan masyarakat sivil, pemimpin industri, dan hadirin sekalian.
Terima kasih kepada Wanita Berdaya Selangor atas jemputan ini, dan kepada semua yang telah menyertai lima Perbincangan Meja Bulat sebelum ini.
Saya sedar ada ironi apabila seorang lelaki berdiri di sini untuk bercakap tentang perwakilan wanita. Tetapi itulah mesej pertama saya: kesaksamaan gender dalam membuat keputusan bukan agenda wanita semata-mata. Ia adakah berkaitan dengan soal tadbir urus dan kami sebagai pemimpin bertanggungjawab membuka jalan ke arah ini.
Di mana kita berdiri?
Hadirin sekalian,
Sebelum kita membayangkan 30 atau 50 peratus, mari kita jujur tentang hari ini. Di peringkat nasional, wanita hanya membentuk 13.5 peratus ahli Parlimen dan 12 peratus di peringkat dewan negeri.
Dewan Negeri Selangor pada masa sekarang mempunyai 9 ADN wanita, iaitu 16% berkurangan daripada 12 orang atau 21% pada tahun 2018. Sebagai negeri termaju di Malaysia perwakilan wanita di dewan kita harus menunjukkan trend meningkat dan bukan merosot. Negeri Perlis berada di kedudukan tertinggi dengan 20% ADN Wanita tetapi itu hanya 3 daripada 15 orang ADN. Seterusnya, Johor dan Melaka dengan 17.9%, dengan Johor 10 ADN wanita daripada jumlah 56 orang ADN dan Melaka hanya 5 ADN wanita daripada 28 ADN. Selangor di kedudukan keempat.
Sasaran 30 atau 50 peratus adalah ukuran kehendak politik kita. Angka 30 peratus ialah “jisim kritikal” dari Platform Tindakan Beijing 1995, titik di mana wanita tidak lagi menjadi simbol atau pengecualian, tetapi boleh membentuk pakatan dan mengubah budaya institusi. Walaupun begitu, 30 peratus adalah lantai dan bukan siling. Wanita adalah separuh dari populasi Malaysia. Memang tidak dapat kita menjelas mengapa separuh rakyat hanya layak mendapat satu pertiga suara.
Apa yang boleh dilakukan oleh seorang Speaker?
Speaker tidak memilih calon pilihan raya kerana itu keputusan parti dan rakyat. Biarpun begitu, Speaker boleh menentukan bagaimana Dewan bekerja, dan siapa diberi ruang untuk memimpin.
Dewan Negeri Selangor telah memulakan tradisi pembaharuan sejak tahun 2008. Selepas 2008, dewan ini menubuhkan SELCAT dan mengadakan pendengaran awam yang mendedahkan salah guna kuasa. Dewan yang mesra gender adalah bab seterusnya dalam tradisi pembaharuan institusi itu. Saya berharap kerajaan dapat menetapkan satu set KPI pematuhan agenda gender-balanced untuk diterima pakai oleh semua pejabat kerajaan, agensi, badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri dan seterusnya kami di SELCAT akan menjalankan tugas kami dalam menyemak dan mengimbangi tentang perkara ini.
Apabila saya berdepan realiti 9 ADN wanita, saya tidak boleh menambah bilangan mereka, biarpun begitu saya boleh memastikan suara mereka tidak tenggelam. Saya telah melantik lebih ramai wanita untuk mempengerusi dan menganggotai jawatankuasa pilihan dan jawatankuasa pilihan khas, dan memastikan setiap ADN wanita menganggotai sekurang-kurangnya dua jawatankuasa.
Dan bukan hanya jawatankuasa yang dianggap “sesuai untuk wanita”. Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Infrastruktur dipengerusikan oleh ADN Subang Jaya, yang membawa usul tentang isu banjir ke dewan. Infrastruktur dan banjir, maksudnya bidang yang lazimnya dikuasai lelaki, kini dipimpin wanita.
Hasilnya, suara wanita dalam perbahasan menjadi lebih kuat, mereka lebih aktif menangkis naratif ekstrem, dan peranan mereka dalam tadbir urus dewan bertambah besar. Saya juga menambah masa ucapan ADN daripada lima kepada 15 minit dan kelonggaran diberi kepada ADN Wanita. Apabila bilangan ADN wanita kecil, setiap minit di lantai dewan amat berharga.
Pelajarannya: walaupun bilangan belum mencapai 30 peratus, pengaruh boleh ditingkatkan melalui reka bentuk institusi.
Saluran bakat: kejayaan dan kejujuran
Tetapi reka bentuk institusi tidak cukup jika saluran bakatnya masih sempit.
Wanita Berdaya Selangor telah membuktikan apa yang boleh dicapai. Dalam Sidang Wanita Selangor, SIWANIS pada 2024, salah satu isu utama ialah kuota minimum 30 peratus wanita di semua peringkat pembuatan keputusan. Setahun kemudian, sasarannya naik: 50 peratus perwakilan wanita di Dewan Negeri Selangor. Tajuk forum kita hari ini telah pun dibahaskan oleh wanita muda Selangor di dalam dewan kita sendiri.
Program ini bukan sekadar simulasi. Pada edisi ketiga tahun ini, 74 peserta menjalani bengkel penggubalan dasar menerusi lensa gender serta undang-undang tubuh dan peraturan Dewan Negeri; 56 yang terbaik kemudian menjalani lawatan lapangan bersama ADN sebagai mentor, simulasi dan perbahasan utama.
Kini izinkan saya jujur tentang program saya sendiri. Pejabat Speaker menganjurkan ADN Muda, sidang simulasi untuk belia. Tahun ini, kami menerima 232 permohonan dan memilih 56 peserta dengan penyertaan wanita sebanyak 29 peratus, sesuatu angka yang paling dekat dengan angka keramat 30%.
Mengapa ia penting?
Kehadiran wanita di meja keputusan mengubah kualiti dasar.
Pada 2017, semasa saya masih ADN Kampung Tunku, saya membahas di Dewan yang sama bahawa hampir 70 peratus wanita di Malaysia terpaksa berhenti kerja kerana penjagaan anak, dan menggesa agar kemudahan mesra wanita dan ibu seperti bilik menyusu, taska tempat kerja dan tempat letak kereta wanita hamil dijadikan syarat mandatori dari segi undang-undang.
9 tahun kemudian, peserta SIWANIS juga membahaskan isu yang sama: kerja hibrid untuk pekerja wanita, ekonomi penjagaan, dan pendidikan inklusif. Isu-isu ini nyata dan berterusan, dan kemajuannya terlalu perlahan apabila bergantung kepada segelintir suara daripada kaum wanita.
Izinkan saya berkongsi satu lagi kisah. Pada 2022, saya menulis tentang seorang ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anaknya di luar negara dan menunggu elama 6 tahun tanpa kewarganegaraan untuk anaknya. Ketika itu, jawapan di Parlimen menunjukkan bahawa daripada 2,352 permohonan oleh ibu warganegara Malaysia dalam tempoh 3 tahun lebih, hanya 21 berjaya. Sementara bapa tidak perlu memohon, tetapi seorang ibu pula terpaksa menunggu. Dan ini bukan isu satu kaum; ramai wanita Melayu juga terjerat dalam masalah yang sama.
Ketidakadilan ini akhirnya diperbetulkan melalui pindaan Perlembagaan semasa YAB PMX menjadi Perdana Menteri yang menggantikan perkataan “bapa” dengan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya”. Bayangkan ini hanya sekadar satu perkataan tetapi pindaannya mengambil masa berdekad-dekad untuk berlaku. Saya bertanya: berapakah lama lagi perkataan itu akan kekal jika separuh penggubal undang-undang kita adalah wanita?
Apa yang berlaku apabila wanita berada di meja keputusan?
Ini bukan teori. Negara-negara yang telah melaksanakannya memberikan bukti.
Di negara-negara yang selalu dilihat sebagai patriaki seperti India, satu pertiga jawatan ketua kampung dirizabkan untuk wanita, dan di Bengal Barat pemilihannya dibuat secara rawak. Ini membolehkan penyelidik membandingkan secara adil kampung yang dipimpin wanita dengan yang dipimpin lelaki. Hasilnya, kampung yang dipimpin wanita melabur lebih banyak dalam air, bahan api dan jalan, keperluan harian keluarga luar bandar. Bilangan projek air minuman di kawasan yang dipimpin wanita adalah 62 peratus lebih tinggi. Hari ini, lebih 20 negeri di India telah menaikkan rizab itu kepada 50 peratus.
Di Pakistan, Perkara 51 dan 106 Perlembagaan Pakistan menetapkan bahawa wakil Wanita dan golongan minoriti perlu dirizabkan di peringkat Provincial Assembly dan National Assembly.
Di Norway, didapati apabila terdapat semakin ramai wanita dalam majlis perbandaran, semakin luas liputan taska di kawasan perbandaran tersebut. Di Rwanda, selepas perlembagaan menetapkan kuota 30 peratus, undang-undang telah digubah supaya lelaki dan wanita mewarisi harta secara sama rata, dan undang-undang gaji sama rata serta pencegahan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak diperkenalkan.
Air bersih, taska, hak pewarisan, keselamatan kanak-kanak bukan “isu wanita”, ianya ialah isu keluarga, isu masyarakat dan isu negara.
Dan ia baik untuk lelaki juga...
Kepada rakan-rakan lelaki yang mungkin bertanya, “Bagaimana dengan kami?”, izinkan saya berkongsi dua penemuan.
Pertama, tentang merit. Hujah paling biasa terhadap kuota ialah ia menjejaskan meritokrasi. Tetapi di Sweden, apabila sebuah parti mewajibkan calon lelaki dan wanita disusun berselang-seli, kajian mendapati kecekapan ahli politik lelaki sebenarnya meningkat, kerana kuota menyingkirkan lelaki yang biasa-biasa. Kuota tidak menggantikan lelaki yang cekap dengan wanita yang kurang cekap. Ia menggantikan lelaki dan wanita yang kurang cekap dengan wanita yang cekap, dan memaksa lelaki yang ketinggalan untuk bersaing.
Kedua, tentang kehidupan lelaki sendiri. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa di negara-negara Eropah yang lebih saksama gender, lelaki mempunyai kadar kematian lebih rendah, jangka hayat yang lebih tinggi, risiko kemurungan dan kadar bunuh diri lebih rendah. Apabila beban mencari nafkah dikongsi dan bapa diberi peluang untuk sama-sama menguruskan keluarga, lelaki tidak lagi perlu memikul semua tanggungan seorang diri.
Kesaksamaan gender bukan permainan menang-kalah. Apabila wanita naik, lelaki tidak jatuh. Kita semua naik bersama.
Pengajaran dari dalam dan luar negara
Selangor bukan baru dalam hal ini. Saya ingin membawa perhatian anda semua kepada satu carian di “Electronic Questions and Answers Dewan Negeri Selangor” atau EQUANS yang mana terdapat satu soalan tentang Ahli Majlis Wanita pada tahun 2015 dan jawapannya ialah pada tahun 2013, kerajaan negeri telah menetapkan melalui Pekeliling SUK SPBT Bil.2/2013 bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Majlis PBT yang dilantik mestilah wanita. Satu dasar yang berani, lebih sedekad lalu.
Walaupun pada tahun 2015 peratusannya ialah 21.74%, tetapi Ahli Majlis wanita sekarang sejak beberapa penggal perlantikan yang lepas kurang daripada 20%.
Ini adalah kerana pelantikannya amat bergantung kepada pencalonan parti. Jika parti tidak mencalonkan wanita, pekeliling tidak dapat berbuat apa-apa. Inilah pengajaran paling penting: hanya dasar dengan mekanisme penguatkuasaan yang dapat menerjemahkan niat baik kepada sesuatu nyata.
Parti politik sendiri telah mula belajar. PKR meminda perlembagaannya pada 2009 untuk kuota 30 peratus wanita di semua peringkat. DAP pada 2014 menjadi parti pertama di Malaysia yang merizabkan sekurang-kurangnya 30 peratus kerusi jawatankuasa tertingginya untuk wanita. Kuota yang tertulis dalam perlembagaan parti, dengan kerusi yang benar-benar dirizabkan, terbukti lebih berkesan daripada seruan semata-mata.
Negara lain pergi lebih jauh. Perancis, melalui undang-undang pariti 2000, memotong dana awam parti yang gagal mencalonkan lelaki dan wanita secara seimbang. Apabila ada parti yang sanggup membayar penalti daripada berubah, Perancis memperketatkan kadarnya. Mexico, melalui reformasi Paridad en Todo 2019, mewajibkan pariti gender dalam eksekutif, legislatif dan kehakiman, dan pada 2024 rakyatnya memilih presiden wanita pertama.
Pengajarannya sama, sama ada di Selangor, Paris atau Mexico City: sasaran perlu disertai mekanisme. Malaysia yang sedang membincangkan pembiayaan politik boleh mempertimbangkan dana parti yang dikaitkan dengan pencalonan wanita, dan kita perlu mula membincangkan undang-undang yang menginstitusikan sekurang-kurangnya 30 peratus, dan akhirnya 50 peratus, wanita dalam kerajaan.
Autonomi dewan
Sebagai Speaker, saya menambah satu perkara. Dewan yang mesra gender memerlukan autonomi. Rang Undang-undang Perkhidmatan Dewan Negeri, yang tertangguh sejak 2010, masih kami nantikan. Dengan autonomi itu, Dewan akan diberi kuasa pentadbiran untuk menentukan cara kegunaan peruntukan yang menginstitusikan kemudahan penjagaan anak, waktu persidangan mesra keluarga, kod etika terhadap gangguan, dan penilaian kesan gender bagi setiap rang undang-undang.
Penutup
Hadirin sekalian,
Membina Malaysia dengan 30 atau 50 peratus kepimpinan wanita bukan kebajikan. Ia bukan ihsan. Ia keperluan strategik untuk kemajuan negara, keadilan sosial dan tadbir urus yang cekap.
Sidang SIWANIS telah membahaskan 30 peratus dan kemudiannya 50 peratus. Mereka telah melakukan bahagian mereka. Kini giliran kita, yang benar-benar duduk di kerusi dewan, untuk menjadikan perbahasan simulasi itu sebagai realiti.
Terima kasih, dan selamat berforum.

No comments:
Post a Comment