Tuesday, August 19, 2008

Status bangunan jadi tanda tanya

PETALING JAYA Kewujudan dua bangunan di Jalan SS3/9 menimbulkan persoalan kepada penduduk Kampung Baru Sungai Way kerana tapak bangunan itu terletak dalam zon penampan.Bangunan berkenaan yang didakwa milik Rukun Tetangga kawasan itu tetapi dinamakan Dewan Respon telah terbiar sejak beberapa ketika manakala sebuah lagi dijadikan kelas tadika oleh pihak tertentu.

Bagaimanpun, dakwaan Dewan Respon itu adalah milik Rukun Tetangga SS3 boleh dipertikaikan kerana pejabat Rukun Tetangga kawasan itu yang sebenar terletak berdekatan dengan Warung Wawasan.

Masalah itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San yang mengunjungi tempat tersebut baru-baru ini.

Katanya, beliau telah mendapatkan maklumat status sebenar tapak tanah tersebut daripada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dan disahkan tapak bangunan itu terletak dalam kawasan yang diwartakan sebagai kawasan lapang.

"Mereka (Pejabat Daerah dan Tanah Petaling) juga memberitahu tiada sebarang permohonan diterima daripada mana-mana pihak untuk menggunakan tanah berkenaan,'' katanya.

Oleh itu, katanya, beliau telah mengemukakan permohonan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya kedua-dua bangunan itu dirobohkan atau diberi hak milik kepada penduduk tempatan.

"Ini kerana penduduk di sini amat memerlukan tempat untuk menjalankan aktiviti perhimpunan dan kegiatan riadah mereka.

"Saya harap MBPJ boleh bertindak tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab dan sewenang-wenangnya mendirikan bangunan di sini tanpa kebenaran pihak berkuasa,'' katanya.

Difahamkan pihak penduduk di situ akan mengemukakan permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk memohon tapak tanah terbabit.

"Jika diluluskan oleh pihak kerajaan negeri, mungkin penduduk di Sungai Way dan SS3 boleh mendapat manfaat dan mempunyai sebuah tapak untuk menjalankan kegiatan kemasyarakatan,'' katanya.

No comments: