Tuesday, July 14, 2009

Tumpu kepada program-program pembangunan mengikut keutamaan dan bukan projek mi segera

Ucapan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San semasa membahas Usul Bajet Tambahan Peruntukan Pembangunan 2009 pada 13 Julai 2009:

Caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri di bawah kepala B06 sebanyak RM77 juta telah diperuntukkan dalam Bajet Tambahan Peruntukan Pembangunan Tahun 2009.

Daripada peruntukan ini, sebanyak RM477,000 telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai projek negeri khas di bawah kepala P01, butiran projek 26001 untuk Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Projek Pengindahan Sungai Klang.

Saya ingin bertanya tentang butiran dalam projek-projek khas ini kerana ianya tidak diterangkan dengan jelas dalam kertas-kertas yang disampaikan kepada kita.

Beberapa projek naiktaraf jalan telah dilakukan di bawah Jabatan Kerja Raya yang telah dimasukkan dalam Tambahan Peruntukan Pembangunan kali ini oleh JKR. Walaupun begitu, saya mendapati beberapa projek dilaksanakan pada tahun 2007 dan 2008. Sepatutunya pembayaran kepada projek-projek ini harus dimasukkan dalam belanjawan 2007 dan 2008 dan bukannya dibawa ke dalam Bajet Tambahan Peruntukan Pembangunan.

Contoh-contohnya adalah seperti berikut:

1. Projek melebar dan memperkukuhkan Jalan Batu 7, Sempadan Sijangkang, Kuala Langat yang bermula pada 5 Oktober 2007 dan siap pada 27 Disember 2007.

2. Cadangan menaik taraf jalan dan longkang di Jalan Rinching Tengah, Rinching Hilir, Rinching Hulu dan jalan-jalan lain berkaitan yang bermula pada 1 April 2008 dan siap pada 21 Julai 2008.

3. Membina dan menyiapkan jejantas di SRA Bukit Badong yang bermula pada 26 Februasi 2008 dan siap pada 1 Disember 2008

4. Membaik pulih dan menurap semula Jalan B35 dari Simpang 3 Ijok ke Kampung Bukit Badong yang bermula pada 12 April 2007 dan siap pada 12 Mac 2008.

Saya meminta rakan-rakan semua untuk meneliti tarikh projek yang ke-3 dan yang ke-4 di mana tarikh bermula kedua-dua projek ini terletak pada waktu berkempen pilihanraya umum ke-12 dan pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2007, iaitu projek “Membina dan menyiapkan jejantas di SRA Bukit Badong” dan “Membaik pulih dan menurap semula Jalan B35 dari Simpang 3 Ijok ke Kampung Bukit Badong”, masing-masing menelan kos RM920,400 dan RM2.7 juta.

Apa yang mengkhuatiri saya ialah kedua-dua projek ini ialah projek mi segera yang memang merupakan favourite Barisan Nasional semasa berkempen. Kalau kedua-dua projek ini bukan projek mi segera, mengapa kedua-dua projek ini tidak dapat dimasukkan ke dalam bajet 2007, bajet 2008 atau tambahan bajet pembangunan 2008?

Berapa banyak projek mi segera yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang lalu yang masih belum dibuat bayarannya?

Adalah amat jelas bahawa projek-projek ini hanya bertujuan untuk mengaut kepentingan politk bagi Barisan Nasional. Saya amat terkilan kerana wang yang sebegitu banyak dibelanjakan tanpa perancangan yang betul.

Oleh itu saya menggesa rakan-rakan sekalian daripada Pakatan Rakyat supaya mengikis mentaliti projek mi segera ini. Keutuhan kerajaan bergantung kepada dasar dan pelaksanaannya, bukan bergantung kepada berapa banyak projek mi segera yang dapat disediakan semasa menghadapi pilihanraya sama ada yang umum atau yang kecil.

No comments: