PETALING JAYA: “Kami akan meminta syarikat pemilik menurunkan struktur menara telekomunikasi itu jika penduduk membuat bantahan,” kata Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zainun Zakaria ketika mengulas kewujudan menara berkenaan yang didakwa menjadi punca pelbagai gangguan kesihatan termasuk kanser.
Bagaimanapun Zainun berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan penduduk mengenai perkara itu walaupun sebelum ini penduduk mendakwa beberapa kali membuat aduan kepada beberapa pihak termasuk MBPJ.
“Kalau tak silap saya, sebelum ini kami tidak pernah mendengar sebarang rungutan atau bantahan penduduk. Bagaimanapun, kami akan menyiasat perkara ini dalam masa terdekat dan sekiranya bantahan (penduduk) itu berasas, kami akan mengarahkan syarikat (pemilik) supaya menurunkan struktur menara berkenaan.
“Selain itu, sebelum ini tiada pihak yang dapat mengesahkan atau membuat kajian secara terperinci mengenai bahaya menara berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Harian Metro semalam melaporkan, kajian Profesor Bersekutu Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Adlina Suleiman, baru-baru ini mendapati penduduk Taman Subang, dekat sini, dipercayai berisiko tinggi diserang kanser dan pelbagai penyakit kronik lain berikutan tinggal berhampiran menara pemancar telekomunikasi.
Kajian kesan radiasi itu dijalankan selama dua minggu membabitkan 170 penduduk taman perumahan berkenaan, mendapati 8.23 peratus responden dilaporkan diserang kanser berbanding tidak sampai satu peratus jumlah keseluruhan rakyat negara ini mengalami penyakit sama.
Ditanya mengenai status kelulusan menara berkenaan, Zainun berkata, pihaknya cuma bersetuju mengeluarkan permit bagi meluluskan pembinaan struktur menara selepas mendapat laporan kerajaan negeri sebelum ini dan Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd (KJS).
“Kami cuma keluarkan permit. Yang menentukan lokasi dan kajian mengenai menara itu ditentukan kerajaan negeri sebelum ini dan syarikat dilantik mereka iaitu KJS,” katanya.
Pengurus Kanan KJS, Abdul Hashim Ramli, ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya bertanggungjawab mengenai pembinaan struktur menara.
“Bukan bidang kuasa kami untuk menentukan sama ada menara itu mendatangkan bahaya atau tidak,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, berkata pihaknya sedang melakukan siasatan mengenai perkara berkenaan selepas menerima aduan daripada akhbar ini dan penduduk bulan lalu.
1 comment:
YB,
Menara, Bekalan Air & Pembangunan,
Semuanya baik untuk insan,
Dibina tergesa untuk kemajuan
Sudah dibina tanggungjawab lepas tangan.
Tiada rawatan kendalian berkala
Akibatnya rakyat menanggung bala Aduhai Sindrom lepas tangan
Gejala parah pusaka warisan
Rakyat disangka buta tak peka,
Katanya: Tiada aduan disampaikan
Tiada berkenaan jabatan saya!
Apakah pegawai tak proaktif
Terhadap penduduk, banyak PBT tak senstif.
Post a Comment