Monday, July 11, 2011

Pemulangan kuasa kepada rakyat melalui pemilihan ketua kampung dan ahli majlis secara percubaan

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) 2011 pada 11 Julai 2011 di Shah Alam:

Pemilihan ketua kampung secara percubaan yang akan dijalankan di tiga buah kampung baru iaitu Kampung Baru Jenjarum, Kampung Baru Pandamaran dan Kampung Bagan Pulau Ketam, akan memberi lebaran dan nafas baru untuk menyuburkan demokrasi di Selangor. Ini mampu membuktikan kepada kerajaan persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pemilihan di peringkat akar umbi boleh dijalankan.

Barisan Nasional (BN) yang selama ini buta demokrasi memang tidak akan memahami makna pemilihan percubaan ini kerana mereka sendiri memang tidak berhasrat untuk memulihkan sistem demokrasi tanahair yang semakin penat selepas ditadbir BN untuk 53 tahun yang lalu.

Malahan Ketua Pembangkang membuat tuduhan liar pada 10 Mei 2011 bahawa kerajaan memperuntukkan RM87.6 juta untuk menjalankan pemilihan ketua kampung kerana kerajaan tidak pernah meluluskan wang ini untuk tujuan pemilihan ketua kampung.

Sebanyak RM60,000 telah diperuntukkan untuk pemillihan secara percubaan ini yang akan dijalankan di ketiga-tiga kampung baru ini, iaitu RM20,000 untuk setiap kampung. Oleh kerana Selangor mempunyai 78 buah kampung baru dan 360 buah kampung tradisi, maka jumlah besar perbelanjaan pemilihan ketua kampung di seluruh 438 kampung ini ialah RM87.6 juta.

Saya percaya bahawa kerajaan Selangor hanya mampu menjalankan pemilihan kampung secara menyeluruh hanya apabila kerajaan mempunyai dana yang betul. Oleh itu tuduhan bahawa kerajaan Selangor membazirkan wang sebanyak RM87.6 juta untuk pemilihan ketua kampung adalah tidak benar dan bertujuan untuk memesongkan rakyat.

Pemilihan ahli majlis secara percubaan juga akan dijalankan untuk lapan zon Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang pada masa sekarang diketuai oleh ahli-ahli majlis yang berlatar belakang NGO. Saya berharap ianya pemilihan secara percubaan ini akan menunjukkan sekali lagi kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat mampu menjalankan pilihan raya yang bersih dan adil walaupun di peringkat akar umbi sahaja.

No comments: