Tuesday, October 17, 2006

Mazlan Aliman perlu membaca dengan teliti kenyataan dan pendirian yang DAP dan DAPSY

Pemuda Sosialis DAP berasa dengan kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkenaan dengan amaran yang dikeluarkannya terhadap DAP dan Hindu Sanggam supaya jangan memanjangkan isu emel yang dihantar oleh oleh Mohd Fauzi Mustaffa ini kerana “ia melibatkan soal akidah dan soal yang berkaitan dengan hukum-hakam dalam Islam”.

Malahan Mazlan Aliman cuba menangguk di dalam air keruh dengan cuba menghubungkaitkan isu ini dengan isu kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang perlu ditekankan di sini bahawa dalam membawa perasaan tidak puas hati terhadap sikap yang tidak toleransi yang ditunjukkan dalam emel yang dihantar oleh Ketua Jabatan Syariah Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Mohd Fauzi Mustaffa, DAP tidak pernah mempertikaikan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Islam adalah agama Persekutuan tetepi Malaysia bukan sebuah negara Islam.


Mesej yang ingin disampaikan oleh DAP ialah bahawa kandungan emel berkenaan memudaratkan keharmonian sosial dan perpaduan nasional. Saling mengucap “Selamat” kepada rakan-rakan pelbagai kaum sudah menjadi satu tradisi sejak dahulu kala lagi dan ianya merupakan satu elemen keharmonian kaum yang paling asas di Malaysia. Dengan mengatakan bahawa ucapan “Selamat Deepavali” merupakan satu ucapan yang tidak Islamik di mana ianya jelas merupakan satu perbuatan yang tidak toleransi terhadap kepercayaan agama lain, ianya bukan sahaja menjejaskan suasana menyambut hari kebesaran di kalangan kaum India, tetapi juga boleh menjejaskan keharmonian sosial di Malaysia dan memperbesarkan polarisasi kaum di Malaysia.

Tuduhan dan amaran yang dilemparkan oleh Mazlan Aliman dengan itu adalah tidak perlu malahan adalah tidak tepat kerana kami langsung tidak menyentuh kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan DAPSY berpendapat Mazlan Aliman perlu membaca dengan teliti kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan dan pendirian yang dipegang oleh pemimpim DAP dan DAPSY dalam perkara ini sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak kena pada tempatnya.

No comments: