Sunday, June 07, 2009

Kerajaan Persekutuan harus mengumumkan punca-punca kebakaran Hospital Putrajaya pada pertengahan bulan April

Baru-baru ini, kejadian beberapa kegagalan projek kerajaan telah menimbulkan gelombang kritikan terhadap kekurangan pemantauan dan pelaksanaan projek-projek kerajaan.

Yang terbaru ialah insiden kejatuhan bumbung Stadium Sultan Mirzan Zainal Abidin di Kuala Terengganu. Sudah pasti, kita tidak dapat melupakan insiden keruntuhan bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) yang sudah hampir siap di Tasik Banding akibat kerosakan pada struktur pada tahun 2007.

Yang menjadi persoalan ialah bagaimana bangunan yang sepatutnya menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum dan dibina dengan kos RM450 juta itu boleh runtuh sekelip mata.

Ia seolah-olah menggambarkan pembinaannya yang terletak di lereng Tasik Banding itu tidak dipantau dengan betul dan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Di sini terdapat satu peristiwa yang mungkin belum menjadi pengetahuan umum orang ramai dan pihak media iaitu kebakaran yang berlaku di tingkat tiga Hospital Putrajaya pada 11 April 2009 akibat disambar kilat. Kebakaran ini disyaki berpunca daripada pemasangan alat-alat penangkap kilat (lightning arresters) yang tidak mengikut spesifikasi.

Insiden ini berlaku pada pukul 4:10 petang pada hari Sabtu 11 April 2009 dan akibat daripada insiden ini, kebakaran berlaku di tingkat 3 Hospital Putrajaya, menyebabkan sebahagian besar daripada tingkat 3 hospital tersebut terpaksa ditutup.

Peristiwa ini hanya dilaporkan oleh sesetengah media dan laporan hanya dipaparkan dalam bahagian berita tempatan. Mengikut laporan akhbar yang sempat saya kumpul, kebakaran ini menyebabkan bilik-bilik pesakit di wad 3A, 3B, 3C dan 2C ditutup. Lebih kurang 50 orang pesakit yang berehat di wad-wad itu terpaksa dipindahkan ke hospital-hospital yang lain.

Sehingga sekarang, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang insiden ini.

Saya tidak dapat membayangi apa akan berlaku pada masa kejadian jikalau kesemua 50 orang pesakit dan kakitangan-kakitangan perubatan di tingkat 3 hospital berkenaan tidak sempat melarikan diri daripada kebakaran ini. 

Mengikut pendapat pakar, kebarangkalian untuk sesuatu kebakaran berlaku di sebuah bangunan yang disambar kilat adalah amat rendah. Oleh itu, kebakaran yang berlaku di hospital Putrajaya ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Saya menggesa Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan untuk memberi penjelasan mengenai insiden ini.

Selain itu, saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan segera menilai kembali sistem pelaksanaan tender dan sebutharga yang diamalkan sekarang dan menggantikannya dengan sistem terbuka serta memansuhkan perbezaan di antara kontraktor-kontraktor dan pembekal-pembekal Bumiputera dan bukan Bumiputera. Sistem yang diamalkan sekarang telah terbukti menyebabkan kenaikan kos (cost-overrun) yang dahsyat dengan kualiti kerja yang menurun.

Kerajaan Persekutuan harus mengambil inisiatif untuk mengemaskinikan dan memperbetulkan peraturan-peraturan dan pekeliling-pekeliling tender yang ketinggalan zaman dan membenarkan semua kontraktor dan pembekal untuk menender semua kerja dan projek yang ditawarkan oleh kerajaan, baik kerajaan pusat, negeri atau tempatan.

No comments: