Thursday, November 11, 2010

Pas desak siasat PKNS

Dipetik daripada laman web Sinar Harian

SHAH ALAM – Pas Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyiasat dakwaan salah guna kuasa pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Dr Che Rosli Che Mat berkata, Abdul Khalid perlu mendapatkan maklumat tentang kesahihan dakwaan yang dibongkarkan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Shaari Sungib dalam ucapan perbahasan Bajet kelmarin.

Menurutnya, sekiranya maklumat itu berasas, maka tindakan drastik mesti diambil sebagai langkah membebaskan PKNS daripada segala gejala yang boleh merosakkan dan meruntuhkannya.

“Sebagai sebuah parti yang menghormati ketelusan, amanah dan kebertanggungjawaban Pas Selangor terkejut dengan fakta yang dikemukakan.

“Jika tidak ditangani dengan bijak, ia akan menjejaskan imej dan kredibiliti PKNS yang menjadi agensi utama kepada usaha pembangunan di Negeri Selangor,” katanya.

Che Rosli berkata, Pas Selangor juga mengarahkan Iskandar Abdul Samad yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS membawa mesej Pas Selangor ini di dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan tersebut dijangka selepas sambutan Aidil Adha.
Beliau berkata, antara dakwaan tersebut adalah pelantikan pegawai kontrak yang merupakan kenalan pengurusan PKNS yang dibayar gaji lumayan berbanding pekerja tetap PKNS dengan gaji lebih rendah.

“Mereka ini ditempatkan di satu syarikat PKNS untuk melaksanakan projek ‘join venture’, sedangkan arahan sudah ’join venture’ dengan PKNS tidak boleh lagi.

“Malah PKNS dikatakan menjadi penaja perkahwinan angkawan (Datuk Dr Sheikh Muzaffar) dan angkasawan luar ke majlis itu dengan jumlah yang besar,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid sudah mengarahkan PKNS membentuk pengurusan selari ‘Integrity Pact’ melalui kerjasama Transparency International (TI).

Menurutnya, PKNS mesti mempunyai kumpulan audit luaran yang bertugas menyemak jika terdapat perkara yang dikatakan tidak mengikut pengurusan baik bagi PKNS termasuk rasuah.

“Kalau saya menerima apa-apa perkara yang dibangkitkan, kita mempunyai pasukan audit MBI yang akan ke PKNS untuk mengaudit dan kita akan menyiarkan maklumat tersebut,” katanya.

No comments: