Monday, November 15, 2010

Motion on Malpractices #2 - Mischievous house sales in Kuala Selangor

Ucapan pencadang oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San semasa mambahas Usul No. 14 di bawah Peraturan Tetap 27(3) oleh ADN Hulu Kelang pada:

Saya selaku ADUN Kampung Tunku dengan ini turut membahas satu usul yang dibawa oleh ADUN Hulu Kelang di bawah Peraturan Tetap 27(3), di mana usul adalah seperti yang berikut:

“Bahawa Dewan ini menarik perhatian terhadap manipulasi penjualan sejumlah sembilan (9) unit rumah teres milik SAP Holdings Bhd di Taman Malawati Jaya, Kuala Selangor dengan mengkelaskan penjualan unit-unit tersebut sebagai pembelian pukal dengan harga potongan sebanyak 50.90% yang menyebabkan syarikat kehilangan hasil penjualan sebanyak RM617,000.

“Bahawa dengan ini Dewan yang mulia ini menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk mewujudkan satu badan bebas di bawah Kerajaan bagi menjalankan penyiasatan dan membentangkan siasatan ke Sidang Dewan Negeri.”

Tuan Speaker,

Saya juga telah membuat semakan secara kasar daripada laman web yang sama dan saya telah mendapati bahawa harga jualan seunit rumah teres satu tingkat ialah RM130,000.

Adakah harga jualan ini mencerminkan harga pasaran? Saya telah menjalankan satu pengiraan di mana saya telah menggunakan harga RM130,000 ini sebagai harga dasar dan harga ini dikenakan potongan sebanyak 50.9%. Selepas potongan ini, maka harga jualan baru ialah RM64,000, ini bermakna potongan yang dikenakan ialah RM66,170 untuk setiap satu rumah.

Jika RM66,170 didarab dengan sembilan, maka jumlah potongan yang dikenakan ialah hampir RM600,000 dan angka ini tidak jauh berbeza dengan potongan yang ditawarkan oleh SAP Holdings Bhd di Taman Malawati Jaya, Kuala Selangor, iaitu RM617,000.

Saya juga telah menyemak lokasi ini dan saya mendapati ianya terletak berhampiran dengan bandar Kuala Selangor dan jaraknya di antara Taman Malawati Jaya dengan Gedung Pasaraya Teso Kuala Selangor hanya lebih kurang 2km sahaja.

Oleh itu, saya tidak begitu mengerti rasionalnya untuk menjual rumah ini dengan potongan harga yang begitu tinggi. Saya menggesa kerajaan untuk menjalankan siasatan seperti yang berikut:
1. Adakah Jabatan Audit Negara telah mengaudit transaksi ini?
2. Bilakah dan siapakah yang memutus untuk memberi diskaun yang begitu tinggi? Apakah rasional di sebalik keputusan ini?
3. Siapakah pembeli-pembeli rumah ini?
4. Sekiranya didapati terdapat elemen-elemen penyalahgunaan kuasa, apakah kuasa atau tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab?

No comments: