Thursday, November 04, 2010

Episod sedih S. Muthumani

Ramai mungkin tidak mengenali S. Muthumani.

Lelaki berketurunan Indian yang berumur 36 tahun dan mempunyai tiga orang anak merupakan seorang pemandu bas ekspress.

Pada 29 Oktober 2010, beliau seperti biasa memandu sebuah bas ekspres dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur. Apabila bas yang dipandu beliau sampai ke Genting Sempah, beliau tidak dapat mengawal basnya dan ia terbabas. Tujuh orang penumpang maut dan 39 yang lain dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Laporan awal mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan hanya mempunyai lesen belajar memandu yang sudah lupus 13 tahun yang lalu.

Laporan susulan mengatakan bahawa lesen memandu beliau digantung oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan sekolah belajar memandu beliau tidak diiktiraf oleh JPJ.

S. Muthumani memberitahu pemberita bahawa beliau perlu bekerja sebagai seorang pemandu untuk menyara kehidupan keluarganya walaupun beliau tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

S. Muthumani turut memohon maaf terhadap kemalangan ini.

Apakah perasaan anda setelah membaca berita ini?

Saya berasa sedih dengan kehilangan tujuh nyawa manusia yang amat tidak ternilai harganya. Saya juga terkejut dengan kenyataan S. Muthumani bahawa beliau terpaksa memandu walaupun tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Sementara kita menuduh S. Muthumani dan syarikatnya cuai dan tidak bertanggunjawab, saya berasa elok kita merenung masalah yang lebih besar, iaitu kemiskinan yang semakin berleluasa di Malaysia, khususnya di kalangan keluarga India yang berpendapatan rendah.

Keluarga S. Muthumani merupakan satu contoh klasikal kepincangan keluarga miskin India di Malayia. Saya bimbang dan bertanya-tanya: Adakah kerana S. Muthumani terpaksa bekerja sebagai pemandu kerana beliau tidak mempunyai apa-apa pekerjaan yang lain di mana beliau perlu menyara kehidupan ahli-ahli keluarganya?

Jikalau ini ialah apa yang berlaku kepada beliau, maka saya menganggap ini merupakan satu episod sedih buat S. Muthumani.

No comments: