Sunday, February 15, 2009

Selangor Tambahbaik Pengurusan Kewangan PBT

Dipetik daripada Selangorkini.com

Wednesday, 11 February 2009

SHAH ALAM, 11 Februari - Pengurusan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan ditambahbaik, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Menurut beliau, beberapa cadangan untuk penambahbaikan ketelusan pengurusan kewangan telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

Menyentuh cadangan itu, Ronnie berkata sebarang keputusan untuk melantik kontraktor untuk pembekalan barangan atau perkhidmatan untuk PBT perlu mendapatkan kebenaran daripada jawatankuasa kewangan masing-masing.

Beliau berkata tiada pegawai PBT boleh membuat keputusan berkenaan termasuklah menandatangani kontrak sebelum mendapat kebenaran jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa kewangan juga bertanggungjawab dalam meneliti semua belanjawan yang dicadangkan dan memastikan semua kontrak yang dikeluarkan itu berbaloi,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa itu juga perlu menilai kecekapan mereka yang diberikan kontrak berkenaan.

“Semua keputusan oleh jawatankuasa kewangan mestilah dibentangkan dalam mesyuarat penuh untuk kelulusan.

“Ini adalah satu langkah terbaru untuk menambahbaik ketelusan pengurusan kewangan di semua PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan MMKN petang tadi. - NOOR ALLIA KASSIM

No comments: