Sunday, February 15, 2009

Penduduk harap MBPJ pantau keadaan

PETALING JAYA 15 Feb. - Penduduk di sekitar kawasan projek pembinaan kondominium Paramount View di sini amat berharap pihak berkuasa prihatin dengan masalah yang mereka hadapi dan tampil membantu.

Seorang penduduk di rumah pangsa Sri Aman, Hasnah Ahmad berkata, dia bimbang masalah itu akan menjadi semakin buruk jika tindakan segera tidak diambil.

Katanya, ini kerana dinding rumahnya kini mengalami keretakan dan masalah itu sudah berlanjutan sejak hampir dua tahun tanpa ada sebarang tindakan diambil," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Seorang lagi penduduk Sri Aman, Ruslan Basri, 49, memberitahu, projek pembinaan tersebut terletak terlalu hampir dengan rumah pangsa itu iaitu kira-kira 20 meter.

"Pernah berlaku kejadian objek keras jatuh dari projek itu dan menghempap kereta penduduk.

"Baru-baru ini, sebatang besi panjang telah jatuh dan hampir mengenai kereta salah seorang penduduk,'' katanya.

Apa yang paling dirisaukan, kata Ruslan, ialah keselamatan kanak-kanak yang sering bermain di kawasan sekitar rumah pangsa ini.

"Siapa yang mahu bertanggungjawab jika kejadian buruk berlaku, apa lagi jika berlaku kehilangan nyawa," soalnya.

Sementara itu, jurucakap Sri Aman Development Sdn. Bhd. memberitahu Utusan Malaysia, pihak pemaju akan membaiki semua kerosakan yang berlaku.

Katanya, pihaknya kini sedang menunggu pandangan dan laporan daripada juruteranya untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Beliau turut memohon maaf atas kejadian objek jatuh dari projek pembinaan tersebut dan menimpa kereta penduduk.

"Kontraktor yang terlibat telah mengambil tindakan terhadap pekerja-pekerja yang cuai itu," katanya.

Mengenai Jalan SS1/25, jurucakap itu memberitahu, ia hanya untuk kegunaan sementara waktu sahaja.

"Tidak lama lagi, kami akan menggunakan Jalan SS1/26 seperti yang diarahkan.

"Penduduk diharap faham bahawa pihak kami mencuba sedaya-upaya untuk tidak mengganggu penduduk sekitar dan dalam masa yang sama, kami juga perlu menyiapkan projek ini mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.

No comments: