Sunday, December 07, 2008

CADANGAN MENGADAKAN SIDANG MESYUARAT DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR TERGEMPAR MENGENAI KEJADIAN TANAH RUNTUH DI BUKIT ANTARABANGSA DAN ULU YAM

CADANGAN MENGADAKAN SIDANG MESYUARAT DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR TERGEMPAR MENGENAI KEJADIAN TANAH RUNTUH DI BUKIT ANTARABANGSA DAN ULU YAM.

Dengan segala hormatnya saya ingin mencadang kepada Barisan Exco dan pihak Tan Sri untuk memanggil satu sidang mesyuarat DUN Selangor tergempar mengenai kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan Ulu Yam, mengikut Perkara 10(3) Peraturan-peraturan tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berbunyi seperti berikut:
“Jika dalam masa Dewan sedang ditangguhkan, Menteri Besar mengemukakan kepada Tuan Speaker, iaitu, bagi kepentingan awam berkehendakkan mesyuarat diadakan lebih awal daripada masa yang Dewan telah ditangguhkan, Tuan Speaker hendaklah memberitahu dengan serta-merta perkara itu dan Dewan hendaklah bermesyuarat pada masa yang dinyatakan dalam pemberitahu itu. Urusan perkara mesyuarat pada hari itu hendaklah ditetapkan oleh Menteri Besar dan pemberitahu mengenainya hendaklah diperkelilingkan tidak lewat dari masa mesyuarat itu.”
2. Buat sementara waktu, adalah mustahak untuk kerajaan negeri menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja pemindahan, penyelamatan mangsa-mangsa dan kerja-kerja yang lain.

3. Walaupun begitu, DUN harus bersidang secepat mungkin selepas ini untuk membincangkan kejadian tanah runtuh dan pembangunan yang dijalankan di lereng-lereng bukit.

4. Sebab-sebab untuk menjalankan sidang mesyuarat DUN tergempar adalah seperti berikut:

• bahawa kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan lereng dan cerun bukit kerap berlaku kebelakangan ini. Baru-baru ini, kejadian tanah runtuh berlaku di Ulu Yam pada 30 November 2008 telah mengorbankan dua nyawa manusia. Sementara itu, tanah runtuh juga berlaku di kawasan berbukit di Bukit Damansara pada 5hb Disember di mana lebih seribu kakitangan Bank CIMB perlu dipindah keluar daripada tempat kerja mereka dan sebelas buah kereta tertimbus di dalam tanah.

Tidak sampai 24 jam daripada kejadian ini, masyarakat dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, sebuah tempat yang memang tidak asing bagi kita dari segi kejadian tanah runtuh. Dalam insiden hitam ini, sekurang-kurangnya tiga mayat dijumpai dan pihak berkuasa masih dalam usaha memindahkan lebih lima ribu penghuni untuk meninggalkan kawasan itu. DUN perlu bersidang untuk membincangkan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

• Bahawa sidang mesyuarat DUN tergempar ini akan memberi peluang kepada semua ADUN dan pihak kerajaan untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang masalah yang dihadapi oleh pelbagai pihak berkepentingan (stalkholders) berkenaan dengan pembangunan di kawasan lereng bukit ini.

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT”

Yang benar,

LAU WENG SAN
ADUN Kampung Tunku

No comments: