Monday, July 07, 2008

Sokongan ADUN atau MP untuk permohonan sijil kelakuan baik adalah tidak memerlukan

Saya difahamkan mulai 3 Mac 2008, Kementerian Luar Negeri telah mengeluarkan Borang Permohonan Sijil Kelakuan Baik yang baru untuk warganegara Malaysia yang meninggalkan Malaysia.

Saya telah difahamkan bahawa terdapat satu ruangan khas di dalam borang yang baru ini untuk ulasan sokongan yang hendak diberi oleh pegawai-pegawai termasuk ADUN dan Ahli Parlimen.

Memandangkan borang yang dimaksudkan ini adalah berkaitan dengan kelakuan baik pemohon, maka adalah tidak munasabah untuk meminta ADUN atau Ahli Parlimen untuk membuat ulasan bagi menyokong permohonan ini memandangkan ADUN atau Ahli Parlimen selalunya tidak mengenali secara mendalam personaliti pemohon.

Maka adalah tidak adil untuk mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen untuk membuat sebarang ulasan sokongan jikalau beliau tidak mengenali si pemohon selain menambah beban kerja ADUN dan Ahli Parlimen.

Tambahan lagi, pemohon juga perlu membuat satu Pengakuan Statutori di hadapan seorang Hakim Mahkamah Seksyen, Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah untuk mengesahkan kelakuan baiknya.

Saya melihat syarat ini sudah memadai untuk menyokong pemohonan sijil kelakuan baik kerana adalah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang jikalau seseorang itu membuat sumpah palsu di hadapan seorang Hakim Mahkamah Seksyen, Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.

Saya telah menulis satu surat aduan pada pagi ini kepada Tan Sri Rastam bin Mohd Isa selaku Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia untuk meneliti masalah ini dan mengambil tindakan bersesuaian untuk memperbetulkan masalah ini.

No comments: