Monday, January 02, 2006

AUKU tetap perlu dimansuhkan!


Saya telah membaca sepucuk surat yang dihantar kepada Pengarang Malaysiakini yang ditulis oleh Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Sessi 2005/06 Chua Hock Kuan dengan perasaan sedih dan aib kerana kegagalan Chua dalam memahami realiti sebenar dalam perbincangan kita dalam isu AUKU ini.

Apa yang relevan dalam perbincangan ini ialah kebebasan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti di luar dan di dalam kampus dan segala hak asasi manusia yang lain yang telah ditakrif dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Contoh Chua tidak relevan

Chua cuba mengaitkan kebebasan yang saya katakan dalam kenyataan saya yang bertarikh 30hb November 2005 dengan aktiviti-aktiviti seperti Black Metal dan Ayah Pin, yang mana saya rasa perkaitan yang cuba dirangkaikan oleh Chua itu adalah tidak tepat, tidak relevan dan bersifat memesongkan pandangan kita terhadap isu AUKU ini.

Adakah kita kekurangan akta?

Chua perlu menjawab, adakah benar bahawa kerajaan kita pada masa sekarang ini kekurangan akta dan perundangan untuk membanteras gejala-gejala sosial ini sehingga kita perlu menggunakkan AUKU hanya untuk mengawal mahasiswa-mahasiswi daripada terjerat dengan gejala-gejala sosial ini? Kita sudah mempunyai pelbagai jenis akta yang bukan sahaja boleh diguna ke atas mahasiswa-mahasiswi tetapi juga pada orang awam. Kalau begitu, apakah kerelevanan Chua untuk bangkitkan isu Black Metal dan Ayah Pin dalam perbincangan kita selain daripada percubaan untuk mengalihkan pandangan orang ramai terhadap isu-isu pokok yang kita perlu tangani dalam AUKU ini?

Chua juga membangkitkan isu merokok di dalam kampus dalam satu maklum balasnya kepada satu kenyataan yang ditulis oleh Wong Hon Wai
, dan saya rasa contoh yang Chua bangkitkan ini juga tidak relevan kerana kawalan aktiviti merokok di dalam kampus telahpun dikuatkuasa oleh akta kerajaan yang mana semua premis kerajaan termasuk kampus universiti telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok. Sekiranya kita sudah mempunyai perundangan yang mencukupi untuk mengawal gejala-gejala sosial yang Chua maksudkan tadi, bukankah satu pertindihan fungsi yang amat serious akan berlaku, sekiranya AUKU yang dikatakan oleh Chua tadi wajar dikekalkan kerana ianya boleh diguna untuk mengawal gejala-gejala sosial ini.

AUKU tetap usang

DAPSY tetap menganggap AUKU satu akta yang usang walaupun Chua telah menyatakan akta itu pernah dipinda dua kali mengikut peredaran masa kerana pindaan-pindaan yang dibuat tetap tidak menyentuh tentang masalah dan kepincangan pokok yang sedang dihadapi oleh universiti-universiti awam di negara kita.

Chua juga bertanya sekiranya AUKU yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1970 dikatakan usang, apa pula kata DAPSY mengenai Perlembagaan Malaysia yang digubal jauh lebih awal?

Perbandingan yang dibuat oleh Chua ini adalah satu sangkaan buruk dan saya meminta Chua menarik balik kenyataannya. Kita tidak boleh mengatakan bahawa sekiranya sesuatu akta itu yang telah dipinda dari semasa ke semasa sebagai akta yang relevan dengan keperluan semasa kerana sesuatu akta itu perlu dinilai sama ada ianya digubal dengan demokratik dan saksama, dengan mengambil kira keperluan dan pandangan semua pihak.

Sekiranya Chua mengenali sejarah penggubalan AUKU, maka akan jelaslah bahawa AUKU ini digubal dengan autokratik tanpa mengambil kira pendangan daripada mahasiswa-mahasiswi yang merupakan subjek utama dalam pelaksanaan AUKU ini.

Soalan-soalan yang perlu dijawab Chua

Saya menghormati pendirian Chua yang tidak menyokong pemansuhan AUKU tetapi dalam rangka kerja yang sedia ada sekarang,
  1. Adakah mahasiswa-mahasiswi dibenarkan untuk menyertai kerja-kerja pemindaan AUKU yang telah dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi?
  2. Adakah mahasiswa-mahasiswi diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengurusan universiti dalam perkara dan isu yang berkaitan dengan hak mahasiswa di dalam kampus?
  3. Adakah pandangan mahasiswa-mahasiswi diserap ke dalam pentadbiran dan pengurusan universiti?
  4. Tahukah Chua bahawa tindakan beliau untuk menulis kepada media di luar kampus tanpa kebenaran pihak pengurusan universiti merupakan satu tindakan yang melanggari AUKU?
  5. Sudahkah Chua memperolehi surat kebenaran sebelum bertulis?

Tiada gunanya untuk Chua untuk terus mempertahankan AUKU sekiranya jawapan kepada soalan-soalan di atas adalah negatif kerana jawapan ini telah menidakkan hak mahasiswa-mahasiswi, termasuk hak Chua sebagai seorang warga Malaysia, apatah lagi Chua merupakan Naib YDP MPMUM.

Harapan saya ialah supaya Chua dapat mengenali realiti sebenar bertulis. Sudah pasti, beliau mesti memperolehi surat kebenarannya terlebih dahulu. Jika tidak, Chua mungkin akan didakwa di bawah AUKU.

AUKU perlu dimansuhkan dan digantikan dengan satu Akta yang liberal dan menghormati hak saksama yang seimbang di antara mahasiswa, pentadbir universiti dan ahli akademik. Pindaan-pindaan minor terhadap AUKU tidak akan mengubah wajah mukanya.

No comments: