Kuala Lumpur bukan lagi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Kuala Lumpur telah dikeluarkan daripada negeri Selangor pada 1 Februari 2008 dan diletakkan di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan selama 30 tahun sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum kewujudan Putrajaya. Selepas penyerahan Putrajaya, diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, Putrajaya telah mengganti Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Semalam telah dilaporkan bahawa Pemudah telah ditugaskan untuk mengambilalih pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disebabkan prestasi DBKL yang semakin merosot dan pengambilalihan ini berkuatkuasa serta-merta.
Berikutan dengan pengambilalihan ini, warga kota kini menumpukan perhatian terhadap DBKL dan saya di sini ingin membangkitkan satu persoalan yang serious, iaitu adalah Kuala Lumpur masih perlu kekal diletakkan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan?
Walaupun Kuala Lumpur masih merupakan Ibu Kota Malaysia, peranan pentadbiran Kerajaan Persekutuan sudah dipindahkan ke Putrajaya. Pada masa sekarang, hanya 8 buah kementerian daripada 31 buah kementerian sahaja masih ditempatkan di Kuala Lumpur, iaitu Kemeterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertahanan (Kementah), Kementerian Pelancongan, Kementerian Penerangan, Kementerian Perdagangan dan Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Warisan dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KEMAS) serta Kementerian Kerja Raya.
Dengan itu, adakah perlu Kuala Lumpur dikekalkan di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan?
BN tidak mempunyai perwakilan di Kuala Lumpur tetapi monopoli semua sumber politik DBKL
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai sebelas orang Ahli Parlimen. Daripada kalangan sebelas orang Ahli Parlimen, Pakatan Rakyat (PR) sudah ada sepuluh orang Ahli Parlimen. Secara teknikal, BN merupakan minoriti di Kuala Lumpur. Biarpun begitu, DBKL masih terletak di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin BN. Datuk Bandar Kuala Lumpur masih dilantik oleh Kerajaan Persekutuan dan kesemua sepuluh orang Ahli Parlimen PR tidak berhak mencampur tangan dalam hal urusan DBKL. Sudah tentu ini merupakan satu fenomena yang tidak adil dan tidak demokratik.
Kalau kita mengikuti sejarah Kuala Lumpur, sebelum Kuala Lumpur diserah kepada Kerajaan Persekutuan, Kuala Lumpur mempunyai 8 orang ADUN di DUN Selangor, warga kota Kuala Lumpur juga mempunyai hak mengundi untuk memilih wakil mereka ke Majlis Tempatan Kuala Lumpur.
Hari ini pula, walaupun negeri Selangor mempunyai 12 buah PBT dengan ahli-ahli majlisnya di semua PBT ini, DBKL masih merupakan sebuah badan pentadbiran yang tidak mempunyai seorang ahli majlis pun.
Apa yang dipersoalkan ialah, apabila Kerajaan Persekutuan mengambil alih pentadbiran Kuala Lumpur daripada Kerajaan Negeri Selangor, alasan yang digunakan ialah untuk memperbaiki prestasi pentadbiran DBKL. Selama 30 tahun DBKL dan Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan hasilnya ialah Kerajaan Persekutuan gagal memperbaiki pentadbiran Kuala Lumpur sehingga memerlukan Pemudah untuk merawat DBKL. Jikalau begini, adakah perlu Kuala Lumpur terus diletakkan di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan? Lebih-lebih lagi, Kerajaan Persekutuan sudah mempunyai Putrajaya sebagai pusat pentadbirannya di mana Putrajaya sebelum ini merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.
Kuala Lumpur di bawah Kerajaan Selangor akan memanfaat warga kota
Salah satu tugas berat dipikul oleh Pemudah ialah memperbaiki prestasi pentadbiran DBKL dan mempertingkatkan ketelusan pentadbirannya.
Bagamana Pemudah dapat melaksanakan tugasnya? Untuk menjawab soalan ini, saya mencadangkan supaya kesemua 10 orang Ahli Parlimen PR diberi peluang untuk mengambil bahagian perihal pentadbiran DBKL sebagai “Ahli Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sementara” agar mereka dapat menyalurkan hasrat dan pendangan rakyat dengan berkesan di dalam DBKL.
Kedua, Pemudah harus mencadangkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan supaya Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) (Peraturan-Peraturan Lembaga Penasihat Bandar Raya Kuala Lumpur 1989) dan Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1971 (Akta 59) serta mana-mana akta lain yang berkaitan dipinda untuk membolehkan warga kota memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur serta wakil mereka ke dalam DBKL melalui peti undi.
Jikalau Pemudah tidak mampu berbuat demikian, maka saya akan bercadang kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR untuk meminta kepada Kerajaan Persekutuan supaya dikembalikan hak penguasaannya terhadap Kuala Lumpur kepada Kerajaan Negeri Selangor tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.
Pada pendapat saya, jikalau ini dapat dilakukan, warga kota Kuala Lumpur dapat menikmati pelbagai ganjaran yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat Selangor, contohnya bekalan air 20m3 percuma, program Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti dan sebagainya.
Saya berharap supaya dengan ini perbincangan mengenai nasib warga kota dapat dimulakan khususnya di kalangan warga kota.