Friday, October 17, 2008

Najib mampu rawat Umno?

Ahmad Lutfi Othman
Harakahdaily.net
Thu | Oct 16, 08 | 1:54:24 pm MYT

Pelan peralihan kuasa dalam Umno dipercepatkan, antara lain, bagi memastikan parti itu dan sekutunya dalam BN dapat melakukan perubahan segera sebelum pilihan raya umum ke-13.

Ahli-ahlinya yang merasai keperitan amat sangat selepas kehilangan lima negeri dikatakan mahu Umno dipulihkan dalam tempoh singkat demi menyekat kemaraan Pakatan Rakyat.

Kekalahan memalukan pada 8 Mac lalu seluruhnya dibebankan kepada Abdullah Ahmad Badawi sehingga beliau perlu diundurkan secepat mungkin.

Soalnya, apakah benar Umno tanpa Abdullah mampu dirawat? Benarkah Abdullah menjadi faktor utama tsunami politik yang hampir membenamkan BN lima bulan lalu manakala tokoh-tokoh lain, khususnya Timbalan Presiden Umno boleh berlepas tangan?

Jika keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh dijadikan rujukan, yang menyaksikan majoriti kemenangan Anwar Ibrahim bertambah, betulkah ia juga berpunca dari Abdullah, sedangkan Najib Razak menjadi jurukempen no. 1 BN waktu itu?

ImageUntuk meredakan kegelisahan sendiri, pemimpin Umno kerap menyifatkan keputusan Mac 2008 umpama pilihan raya November 1999; ia boleh bertukar jika perdana menteri dan presiden Umno turut bertukar.

Seperti Dr Mahathir Mohamad berundur pada akhir 2003, seterusnya pengundi memberi mandat terbesar buat BN pada 2004, maka harapan sama disandarkan kepada Najib.

Sebenarnya Abdullah hanya memerlukan masa tidak sampai lima bulan selepas dilantik menjadi perdana menteri bagi mengetuai kempen BN untuk meraih sokongan rakyat pada 21 Mac 2004. Tapi Najib seperti menagih masa lebih lama, iaitu lebih tiga tahun sebelum berdepan pilihan raya ke-13.

Prestasi buruk Umno pada 1999 lebih difaktorkan oleh penolakan pengundi Melayu terhadap Mahathir. Justeru, apabila Mahathir berundur, rakyat bersedia memberi peluang kedua buat Umno-BN.

Bagaimanapun mereka tidak boleh melupakan rentetan episod hitam era Mahathir. Selepas janji manis Abdullah ternyata tidak dapat ditunaikan, meskipun ada satu dua perubahan kosmetik terlakar, rakyat tanpa didahului jerit-pekik, memberi mesej bermakna buat Umno-BN.

Namun, ia sudah melewati penentangan terhadap seorang tokoh. Gema reformasi 1998 terjelma semula, tapi dalam bentuk berbeda. Elemen politik baru yang berputik 10 tahun lalu nampak mekar mewangi.

Rakyat sebenarnya menolak sistem reput Umno-BN. Mereka benar-benar mahu melihat perubahan seutuhnya, bukan sekadar penggantian pemimpin tertinggi.

Isu-isu yang dahulunya dianggap abstrak, seperti hak asasi manusia, good governance, pilihan raya adil dan bersih, pemantapan institusi penting keadilan dan demokrasi seperti SPR, Parlimen, Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman, polis, kini mendapat respons berbeza.

Tidak mudah lagi untuk Umno berlindung di sebalik sindom penafian, dengan anggotanya yang terus mabuk kuasa dan kemaruk wang ringgit (seperti terjelma dalam kempen pemilihan mutakhir ini).

ImageBeban sejarah Najib cukup untuk membunuhnya! Beliau tidak semestinya dapat menyelesaikan kegawatan yang ditinggalkan Abdullah, tetapi yang pasti Najib bukan tokoh terbaik menyandang jawatan PM. Belum apa-apa, rentetan kes - walaupun masih belum dibuktikan - sudah mengikat geraknya.

Altantunya, Scorpene, Sukhoi, dan kini Cougar EC 275 membelitnya. Apakah rahsia Najib di Mindef makin terdedah selepas Abdullah berpeluang dengan lebih selesa untuk menekuni failnya?

PM lain melangkah gagah di hari pertama, sedangkan Najib penuh keraguan.

Bagi saya, Umno sukar dirawat lagi walaupun Abdullah dipaksa berundur lebih awal. Ia perlu over-haul sepenuhnya, bukan hanya penjenamaan baru. Peluang sudah diberi lebih 50 tahun.

Malah sehingga kini, Umno belum lagi mengambil pengajaran 8 Mac. Ia masih angkuh, takbur dan terpinga-pinga dengan sindrom penafian.

Personaliti Najib mungkin lebih kuat berbanding Abdullah tapi konflik dalam dirinya (juga keluarga) begitu dahsyat. Mahathir mungkin diberi peluang untuk membantunya, namun silap langkah, ia boleh mengundang petaka lebih besar.

Soalnya, mampukah dalam kekalutan ini, Pakatan Rakyat dapat merebut peluang memintas Najib? Krisis keyakinan yang dideritai Umno-BN tidak semestinya secara automatik menyediakan tempat selesa buat Pakatan.

Jawapan ada pada Anwar Ibrahim, Ustaz Abd Hadi Awang dan Lim Guan Eng!

1 comment:

Negara Kita said...

tak pernah dengan apa apa polisi dia cakap dia akan guna untuk ubat UMNO.