Thursday, October 02, 2008

Sokongan terhadap tindakan disiplin terhadap kakitangan awam degil


DAP Selangor membidas tindakan melulu bebepa orang pegawai kerajaan yang bertindak meroboh Kuil Hindu Sri Maha Kaliamman di Kampung Tasek Tambahan Ampang Jaya pada 11 September 008. Apabila kuil Hindu tersebut dirobohkan Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Datuk Mohamad Yaacob untuk mengenalpasti pegawai yang mengeluarkan arahan perobohan kuil Hindu itu.

YDP kemudian telah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri Selangor bahawa arahan itu dikeluarkan oleh Timbalan YDP, yang juga merupakan Setiausaha MPAJ, Encik Hamid Mussain. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan arahan untuk menggantung jawatan Hamid Hussain sehingga siasatan dalaman dijalankan. Jikalau hasil siasatan menunjukkan Hamid Hussain telah melanggari dasar-dasar Kerajaan Negeri Selangor, maka tindakan disiplin seterusnya akan diambil terhadap beliau.

Kuil Hindu ini mempunyai sejarah selama 20 hingga 30 tahun dan pernah dirobohkan sebanyak tiga kali semasa BN menjadi kerajaan negeri. Insiden yang tidak diingini ini merupakan kali pertama berlaku semasa PR dan DAP menjadi kerajaan negeri di Selangor. Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR dan DAP telah seawal bulan April menerangkan kepada pihak media, orang ramai dan pihak pentadbiran kesemua 12 PBT di Selangor termasuk YDP-YDP dan Datuk Bandar-Datuk Bandar bahawa perobohan tempat-tempat beribadat, sama ada tempat-tempat beribadat ini sah atau tidak, tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa kelulusan daripada Exco dan pihak atasan pentadbiran negeri.

Untuk makluman semua, perobohan hanya boleh dilakukan oleh PBT setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kecil yang dianggotai tiga orang Exco, iaitu Exco YB Ronnie Liu, Exco YB Xavier Jayaratnam dan Exco YB Teresa Kok.

Kerajaan Negeri Selangor dan DAP tidak akan mendiamkan diri jikalau mendapati terdapat mana-mana kakitangan awam yang melanggari dasar-dasar Kerajaan Negeri Selangor dengan sengaja, termasuk tindakan disiplin menggantung jawatan mereka atau membekukan kenaikan pangkat mereka.

Kami juga ingin menegaskan bahawa PR dan DAP tidak akan membelakangi janji yang ditabur semasa pilihanraya yang lalu. Tidak sampai masa setahun, Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR telah membenarkan 27 bidang kepada pertubuhan-pertubuhan agama ini dengan memberi geran tanah selama 99 tahun kepada mereka. Dalam pada itu, pertubuhan-pertubuhan ini hanya perlu membayar premium tanah sebanyak RM1000 pada tahun pertama dan kemudian membayar cukai tanah nominal RM1 untuk tahun-tahun seterusnya.

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh MIC dan MCA terhadap PR dan DAP menunjukkan sikap hipokrit mereka. Sebelum 8 Mac 2008, BN dan merekalah yang merobohkan kuil Hindu. Mengapa mereka mendiamkan diri pada masa itu dan sekarang baru mereka melepaskan geram mereka terhadap PR dan DAP? Sikap hipokrit mereka jelas terbukti apabila Pengerusi Jawatankuasa Kui Hindu Sri Maha Kaliamman S. Murugiah secara terbuka mengecam tindakan mereka ini seperti yang dilaporkan dalam satu laporan Sinar Harian bertarikh 30 September 2008.

Kami ingin menyeru kepada semua pertubuhan-pertubuhan agama untuk membuat permohona tanah daripada Kerajaan Negeri Selangor. Permohonan ini mungkin tidak akan berjaya semasa zaman BN tetapi masa sudah berubah sekarang dan kami akan memberi pertimbangan kepada permohonan ini jikalau tanah yang dipohon itu tidak melibatkan tanah rizab Kerajaan Negeri Selangor.

No comments: