Thursday, October 23, 2008

Konsep CAT, Negeri Berkebajikan dan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) sebagai pendorong utama dalam Bajet 2009

Ucapan Bajet (2)

Bajet berimbang Selangor 2009 merupakan satu bajet yang selari dengan konsep CAT, iaitu Cekap, Amanah dan Telus, Negara Berkebajikan dan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang merupakan panduan kepada dasar Pakatan Rakyat.

Sebanyak 51% daripada pendapatan yang diperolehi oleh Kerajaan Selangor pada tahun depan akan digunakan untuk tujuan pembangunan dan ini amat berbeza dengan peruntukan pembangunan dalam bajet-bajet yang lepas dan bajet Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan dalam beberapa tahun yang lalu.

Malahan Bajet ini turut memberi penekanan yang banyak terhadap pembangunan yang menjaga kebajikan rakyat Selangor. Ini sememangnya berbeza dengan bajet yang dibentangkan sebelum ini di mana tumpuannya lebih diberi kepada pembangunan fizikal melalui projek-projek raksasa yang selalunya menjadi bahan kritikan dan teguran Ketua Audit Negara.

Daripada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), bekalan air percuma 20m3, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Mesra Usia Emas, Program Peningkatan Pendapatan Hasil Daripada Bahan Batuan Dan Mineral, Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang dan sebagainya, Bajet ini memenuhi janji Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sebuah negeri berkebajikan (welfate state).

Saya berasa syukur apabila kerajaan telah menempatkan fokus yang betul untuk memulihkan pendapatan kerajaan Selangor daripada bahan batuan dan mineral. Kita tidak harus bersikap negatif terhadap kesemua usaha ini seperti yang dilafazkan oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang kepada pemberita. Di mana program-program ini dianggap tidak ada istimewa apabila kerajaan yang lalu di bawah beliau tidak pernah melancarkan begitu banyak program yang dapat memanfaatkan rakyat.

Cuma saya ingin memohon kepada barisan Exco bahawa kita perlu bekerja kuat kerana sama ada program-program ini berjaya atau tidak bergantung kepada kemampuan kita untuk memulihkan pendapatan kita khususnya melalui hasil bahan batuan dan mineral. Pada masa yang sama, kita juga perlu membuka lebih banyak sumber pendapatan untuk kerajaan negeri selain daripada mengurangkan ketirisan.

Untuk itu, saya menyeru kepada Exco yang diberi portfolio menjaga pasir ini supaya berusaha keras. Kalau diperlukan masa 24 jam sehari untuk menjalankan tugas ini, maka terpaksa juga diberikan masa 24 jam sehari. Sememangnya ini merupakan satu tugas yang berat memandangkan kerajaan Selangor masih menghadapi pelbagai masalah khususnya masalah penguatkuasaan.

Saya telah memahami bahawa kerajaan ingin menjadikan Selangor hub pendidikan dan saya ingin menekankan bahawa kita perlu menumpukan fokus di peringkat sekolah rendah dan menengah kerana peringkat persekolahan inilah yang menjadi asas kepada pembangunan pendidikan yang lebih besar pada masa depan.

Dalam pada itu, saya ingin menarik perhatian kerajaan untuk memberi bantuan kewangan kepada SJKC, SJKT, Sekolah Menengah SUWA dan SAR/SRA.

Ingin dimaklumkan bahawa sekolah-sekolah ini selalunya tidak mendapat bantuan kewangan yang penuh daripada kerajaan persekutuan. Dengan itu, kerajaan negeri perlu membantu sekolah-sekolah ini. Harus diingatkan bahawa biarpun pengurusan dan kurikulum SJKC dan SJKT terletak di bawah pengurusan Kementerian Pendidikan, jadi sekolah-sekolah ini mempunyai hubungan yang rapat dengan rakyat setempat khususnya Sekolah Menengah SUWA, biarpun sekolah ini bukan sekolah kerajaan dan dikategorikan sebagai sekolah swasta oleh Kementerian Pendidikan, hakikatnya sekolah-sekolah lebih dikenali sebagai sekolah yang dibina dan diuruskan oleh rakyat. Ianya juga adalah sama untuk SAR/SRA yang selalunya kekurangan infrastruktur.

Gaji guru-guru kafar sebanyak RM738 tadi juga sangat rendah seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bukit Antarabangsa dan saya bagi pihak DAP Selangor turut memberi sokongan penuh syor-syor daripada Bukit Antarabangsa ini untuk pelaksanaan kerajaan negeri.

Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk memberi peruntukan pembangunan di antara RM10 juta hingga RM20 juta kepada sekolah-sekolah yang dinyatakan seperti di atas pada tahun 2009 untuk menunjukkan komitment kita untuk menjadi Selangor hub pendidikan.

No comments: