Thursday, October 23, 2008

Kerajaan Persekutuan tidak harus campur tangan dalam urusan JKKK

Ucapan Bajet (3)

Kalau sedemikian kata BN kepada PR supaya jangan selalu bermain politik dengan berangan-angan menukar kerajan dan menumpukan perhatian kepada kerajaan negeri, maka saya juga di dalam Dewan Yang Mulia ini meminta BN turut mengikuti kata-kata mereka sendiri dengan menarik balik perlantikan jawatan Ketua JKKK yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan, iaitu JKKP.

Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melantik ketua-ketua kampung untuk mengetuai satu entiti yang langsung tidak dikenali oleh penduduk-penduduk kampung, iaitu JKKP (P – mewakli Persekutuan).

Perlantikan ketua kampung atau ketua JKKK merupakan bidang kuasa kerajaan negeri Kerajaan Persekutuan di bawah BN harus menghormati bidang kuasa kerajaan negeri ini.

Biarpun begitu, Kerajaan Persekutuan mengambil sikap tidak peduli dengan terus menubuhkan JKKP di seluruh kawasan Selangor.

Seperti apa yang diterangkan oleh YAB Menteri Besar dalam ucapannya, Kerajaan Persekutuan harus bersopan dalam hal ini dan perlu mengamalkan sikap beramanah perihal membelanjakan cukai rakyat kerana penubuhan JKKP sudah pasti akan merumitkan pembangunan di dalam kampung dan membazirkan wang rakyat kerana pentadbiran JKKP ini sudah pasti akan melibatkan kos belanja yang tidak diperlukan sama sekali.

Wajarkah Kerajaan Persekutuan berbuat begini? Sudah tentu tidak. Jika ianya wajar, adakah ini bermakna Kerajaan Negeri Selangor boleh menubuhkan Kabinetnya di peringkat Persekutuan? Ianya sudah pasti merupakan sesuatu yang amat ganjil dan tidak masuk akal.

Jika ianya wajar, bolehkan Kerajaan Selangor menubuhkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kita sendiri untuk mengambil alih tugas DBKL di bawah Kerajaan Persekutuan? Adakah kita boleh melantik Datuk Bandar kita sendiri untuk mencampuri urusan Datuk Bandar yang ada sekarang? 

Tiga hari yang lalu YAB Menteri Besar mengeluarkan kenyataan keras meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur ditukar atau dipecat kerana gagal menjalankan tugasnya dengan baik. YAB Menteri Besar malahan menyatakan bahawa Datuk Bandar sekarang tidak layak memegang jawatan Pengurus pun di dalam korporat. 

Saya bersetuju dengan kenyataan YAB Menteri Besar tetapi adakah ini bermakna kita boleh melantik Datuk Bandar kita? Sudah tentu tidak kerana perlantikan Datuk Bandar bukan di bawah Kerajaan Selangor. DBKL pun bukan di bawah penguasaan Selangor seperti perlantikan Ketua JKKK ini juga bukan di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan.

Saya ingin memberi peringatan kepada BN dan wakil-wakilnya di peringkat Persekutuan supaya berhenti daripada terus mencampur tangan dalam urusan kerajaan negeri.

No comments: