Thursday, October 23, 2008

Kerajaan Selangor perlu tegas dengan TNB terhadap kualiti perkhidmatan yang kurang memuaskan

Ucapan Bajet (5)

Dalam satu pertemuan di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan para pelabur dari Jepun, Kerajaan Negeri Selangor telah menerima banyak aduan daripada pelabur-pelabur dari Jepun terhadap gangguan elektrik yang kerap berlaku di Selangor disebabkan oleh kualiti perkhidmatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kurang memuaskan.

Aduan daripada pelabur-pelabur asing terhadap ganggungan elektrik yang kerap berlaku di Selangor tidak boleh dipandang remeh dan ringan kerana ianya akan menjejaskan perkembangan ekonomi Selangor.

Untuk makluman semua, pelaburan di negeri Selangor telah mencapai angka RM11.2 bilion dan daripada jumlah ini, pelaburan sebanyak RM1.8 bilion ialah pelaburan Jepun. Satu pertiga daripada pelabur-pelabur Jepun yang melabur di Malaysia, iaitu 617 pelabur daripada 1447 pelabur Jepun melabur di Selangor.

Negeri Selangor memerlukan para pelabur dari dalam dan luar negara untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Selangor. Walaupun begitu, usaha ini akan terus menemui jalan buntu jikalau TNB gagal membekalkan tenaga elektrik yang stabil kepada para pelabur di Selangor. 

Justeru itu, Kerajaan Selangor harus tegas dengan TNB dan meminta TNB memberi jaminan bekalan elektrik yang stabil kepada para pelabur dan pekilang. Lebih penting lagi ialah untuk TNB memasukkan terma-terma ganti rugi kepada para pelabur ini apabila berlakunya gangguan bekalan elektrik.

Para pelabur juga bimbang apabila Gas Malaysia gagal membekalkan sumber gas asli kepada pekilang-pekilang yang melabur di Pulau Indah.

Saya difahamkan bahawa pelabur-pelabur yang melabur di Pulau Indah adalah kerana dijanjikan bekalan sumber gas asli di Pulau Indah. Apa yang mengecewakan mereka ialah biarpun paip bekalan gas asli telah dipasang sejak dua tahun yang lalu, Gas Malaysia masih belum dapat membekalkan gas asli kepada mereka sepenuhnya dengan alasan bahawa bekalan gas asli tidak mencukupi.

Saya berpendapat alasan ini adalah begitu rapuh dan langsung tidak boleh diterima.

Sepatutnya TNB harus memberi kualiti perkhidmatan yang lebih baik dengan kenaikan tarif elektrik sebanyak 26% pada bulan Julai, tetapi TNB masib belum bersedia untuk memberi rebet sepertimana kerajaan negeri memberi air percuma berikutan kejatuhan harga minyak baru-baru ini dengan alasan bahawa harga gas asli masih tinggi.

Kami tidak berharap TNB dapat memberi rebet elektrik kepada pengguna tetapi sekurang-kurangnya dengan penyelarasan tariff elektrik ini, TNB dapat mempertingkatkan kualitinya.

Salah satu cara TNB dapat menyumbang kepada masyarakat ialah dengan pemasangan lampu jalan yang lebih banyak di setiap pelusuk jalan di Selangor, khususnya di kawasan yang mempunyai rekod jenayah yang tinggi.

Saya berpendapat bahawa biarpun kami masih menghadapi kekurangan dari anggota polis, TNB sememangnya dapat membuat sesuatu dengan menerangkan sesuatu tempat itu pada waktu malam untuk mengurangkan kecenderungan penjenayah-penjenayah melakukan aktiviti jenayah di kawasan yang gelap-gelita.

No comments: