Friday, October 24, 2008

Kerajaan Negeri harus berhenti menghantar kakitangan awam negeri menerima latihan BTN

Ucapan (1) perbahasan bajet (belanjawan) Kerajaan Selangor 2009 peringkat jawatankuasa 
Mukasurat: 107
Maksud Bekalan: B01 Menteri Besar dan SUK
Butiran: 505000 Pentadbiran dan kewangan
Kod: 11000 Gaji dan upahan 
Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DAP, PAS, KeADILan dan baru-baru ini PSM, yang bekerjasama dengan Pakatan Rakyat telah menerap prinsip pentadbiran yang telus, cekap, amanah dan berkebajikan. Adalah jelas bahawa konsep-konsep ini adalah berlainan daripada konsep pentadbiran kerajaan BN yang terdahulu, begitu juga dengan konsep pentadbiran kerajaan persekutuan yang masih diterajui oleh BN.

Apa yang mengecewakan ialah Biro Tata Negara (BTN) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini masih menyebar virus yang mengotori pemikiran rakyat dan kakitangan awam yang berkhidmat di bawah kerajaan negeri.

Dengan itu, Kerajaan Selangor harus berhenti menghantar kakitangan awam negeri menerima latihan BTN (Biro Tata Negara) berikutan kursus-kursus yang dijalankan oleh BTN bercanggahan dengan dasar-dasar kerajaan Selangor.

Rakan-rakan saya di Parlimen pernah menerima aduan bertulis daripada orang ramai, kebanyakkannya mempunyai anak yang sedang menuntut di IPTA-IPTA ataupun merupakan penerima biasiswa kerajaan dimana anak-anak mereka, sama ada bumiputera atau bukan bumiputera dipaksa menyertai kursus Biro Tatanegara yang menggalakkan permikiran perkauman, terdapat dakwaan-dakwaan bahawa pensyarah-pensyarah mengeluarkan kenyataan seperti “kalau ular dengan India depan mata, ketuk India dulu” dan menayangkan video menuduh YB Kinrara dan Bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Noor sebagai penyokong Zionis.

Saya berasa khuatir apabila terdapat juga laporan-laporan akhbar yang pernah memetik beberapa kategori kakitangan kerajaan seperti guru-guru sekolah rendah yang terpaksa menghadiri kursus-kursus “cuci otak” ini sebelum mereka boleh naik pangkat. Saya tidak dapat membayangkan bahawa guru-guru yang sepatutnya mendidik anak-anak kita sebagai warga insane yang mulia dan berjiwa Malaysia terpaksa di“cuci-otak” oleh BTN menjadi individu-individu yang menyebarkan propaganda BN.

Justeru itu, saya berpesan kepada Kerajaan Negeri supaya berhenti terus daripada menghantar kakitangan kita ke kursus-kursus yang tidak produktif ini, apatah lagi kursus-kursus ini dari asasnya telah bertentangan dengan dasar-dasar yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Malahan seruan saya ini bukan dibuat kepada kakitangan di bawah SUK dan Pejabat Menteri Besar sahaja, ianya untuk semua kakitangan awam yang berkhidmat di bawah kerajaan Selangor dan agensi-agensi serta badan-badan berkanun di bawahnya, khususnya yang bertugas di Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sepang, Tanjung Karang Dan Sabak Bernam..

Saya juga syaki bahawa mungkin salah satu sebab kadang-kala kami menghadapi masalah dari kualiti kerja atau penyampaian kerja adalah disebabkan oleh kursus-kursus negatif sebegini. Jadi kita tidak salahkan sepenuhnya kakitangan awam tetapi kami perlu perbetulkan perisian yang ada pada mereka.

Saya juga bertanya sama ada SUK bercadang untuk mengambil lebih ramai kakitangan awam yang fasih berbahasa Tamil, Mandarin dan bahasa-bahasa asing seperti Bahasa Jerman, Jepun dan Korea.

Saya melihat ini sebagai sesuatu yang penting kerana kita memerlukan kakitangan ini untuk menangani permasalahan rakyat. Maklumlah, daripada 5.7 juta rakyat di Selangor, hampir separuh daripadanya adalah warga bukan bumiputera dan kami memerlukan kakitangan awam ini untuk menertejemah dan berkomunikasi dengan mereka, khususnya dalam menerangkan dasar-dasar kerajaan negeri kepada mereka.

Dengan adanya kakitangan ini, negeri Selangor bukan sahaja mampu menarik pelaburan asing, tetapi juga pelancong-pelancong asing yang boleh menjayakan projek “Malaysia My Second Home”, malahan “Selangor My Second Home”.

No comments: