Thursday, October 23, 2008

Memansuhkan tol Batu Tiga penting untuk memangkinkan pembangunan ekonomi Selangor

Ucapan Bajet (4)

Saya juga ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk menimbang sama ada Kerajaan Negeri dapat membantu untuk memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga Lebuhraya Persekutuan.

Sejarah Lebuhraya Persekutuan ini bermula sejak pemisahan Singapura dari Malaysia, yang mengakibatkan Kerajaan Persekutuan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama negara menggantikan Pelabuhan Singapura. Pada tahun 1992 Plus Expressway Berhad (PLUS), pemegang konsesi Lebuhraya Utara Selatan telah menaiktaraf keseluruhan lebuhraya ini kepada 6 lorong. Hakikatnya, PLUS diberi hak konsesi untuk mengutip tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.

Lebuhraya Persekutuan menjadi lebuhraya utama di kawasan Lembah Klang telah mengalami peningkatan kadar trafik yang pesat menyebabkan kapasiti lebuhraya tersebut mencapai tahap puncaknya pada pertengahan 1990-an. Akibatnya kesesakan jalan raya yang teruk berlaku sepanjang lebuhraya tersebut dan telah menjadi lumrah terutamanya pada awal pagi dan lewat petang. 

Salah satu sebab kesesakan ialah Plaza Tol Batu Tiga yang menyebabkan kereta-kereta terpaksa berbaris beratusan meter untuk menjelaskan tol. Saya berpendapat ini merupakan satu fenomena yang sangat melucukan kerana para pemandu kereta membayar tol untuk menjimatkan masa, mengapakah pula sekarang ini pemandu-pemandu perlu membayar untuk menunggu-nunggu di hadapan tol?

Kebaikan-kebaikan yang lain yang bakal dikecapi ialah: 

1. Mengeratkan jalinan perhubungan di antara penduduk-penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam,
2. Memangkinkan perkembangan ekonomi sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, malahan kesan-kesannya akan dapat diperkembangkan ke Sungai Buluh dan Puchong.

Saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semua langkah yang boleh dimabil untuk mengurangkan beban rakyat ini termasuk cara yang kita guna untuk menangani peristiwa di Bandar Mahkota Cheras dan Lebuhraya Grand-Saga.

No comments: