Monday, October 29, 2007

BERSIH Minta Debat Terbuka di RTM

Kenyataan Media
29 Oktober 2007

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) meminta agar debat terbuka disiarkan secara langsung di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) untuk pilihanraya umum yang akan datang. Siaran secara langsung perdebatan yang melibatkan ahli-ahli parti politik dan calon-calon akan menjadi satu loncatan ke arah Malaysia yang lebih progresif.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap proses pilihanraya, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) patut memohon kepada stesen-stesen penyiaran, sekurang-kurangnya RTM untuk menghoskan debat-debat terbuka.

Memandangkan RTM beroperasi menggunakan wang pembayar cukai, tidak ada alasan patut diberikan oleh stesen tersebut dalam melaksanakan keperluan-keperluan pembayar-pembayar cukai bagi maklumat yang seimbang dan komprehensif.

BERSIH mempersoalkan keengganan SPR dan RTM sebelum ini dalam menjalankan amalan-amalan asas dan mengikut piawai amalan pilihanraya kepada rakyat Malaysia yang mana ia merupakan ciri penting pilihanraya di dalam Negara-negara demokratik.

Debat terbuka yang disiarkan secara langsung di televisyen tidak memerlukan sebarang teknologi suntingan yang rumit dan ia juga menjimatkan kos. Namun demikian, apa yang lebih mustahak ialah ia menyediakan pilihan kepada pengundi-pengundi untuk membuat penilaian terhadap calon-calon mereka.

BERSIH mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyokong cadangan ini. Selepas memenangi 12 pilihanraya umum sejak 1955, malu sekiranya kepimpinan BN masih takut untuk mengambil bahagian dalam debat-debat di TV.

Justeru, SPR mestilah mendesak agar program-program debat terbuka disiarkan secara langsung di stesen-stesen TV sekiranya ia mahu melihat jumlah pengundi meningkat pada hari pengundian.

Dengan cara ini, kemungkinan besar debat-debat terbuka di saluran TV akan meningkatkan kesedaran politik dan minat rakyat Malaysia berbanding dengan kempen-kempen mahupun iklan-iklan yang sedang disiarkan oleh SPR sekrang ini.

No comments: