Thursday, October 18, 2007

Kes Abdul Malik - Gembira tetapi sedih Malaysia jadi negara polis

Saya tidak boleh menekan perasaan gembira saya terhadap kemenangan Abdul Malik Hussin dalam kes beliau dianiaya oleh PDRM semasa ditahan di bawah ISA pada tahun 1998.

Saya rasa ini adalah satu perjalanan yang jauh untuk Abdul Malik apabila beliau memutus untuk membawa kes ini ke mahkamah biarpun terdapat pelbagai helah daripada PDRM untuk menghalang beliau daripada membawa kes ini ke mahkamah.

Saya tidak boleh berkata bahawa sistem kehakiman di negara ini sudah berpulih tetapi Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Yang Arif Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus patut dipuji atas kebijaksaannya untuk menjatuhkan hukuman berat terhadap mereka yang suka-suka menceroboh hak asasi manusia.

Saya tidak boleh menekan kegembiraan saya. Bagi saya, ini adalah satu kemenangan yang amat besar, amat bersejarah dan amat bermakna.

Biarpun begitu, saya tidak dapat membayangkan pengalaman ngeri yang terpaksa dilalui oleh Sdr Abdul Malik Hussin seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.com. Saya tidak dapat membayangkan anggota-anggota polis yang memberi keterangan di mahkamah berbohong-bohong secara terang-terang apaibla mereka bersumpah akan bercakap benar.

Saya pernah menyaksikan dengan mata saya sendiri bagaimana anggota-anggota polis bercakap bohong dalam kes Ronnie Liu.

Saya tidak dapat bayangkan penderitaan-penderitaan yang terpaksa dilalui oleh Sdr Abdul Malek semasa ditahan di lokap, apabila beliau dibogelkan dalam bilik berhawa dingin, ditutup mata sewaktu disoalsiasat, dibelasah secara fizikal sehingga 60 kali, dipukul hingga pengsan, dipaksa minum air kencing serta salahlaku seksual.

Sdr Abdul Malik dipukul di bahagian kemaluannya dan diejek saiz bentuk kemaluannya.

Semua ini hanya akan dilakukan oleh mereka yang tidak siuman.

Semua ini hanya akan dilakukan oleh pengganas

Semua ini hanya akan dilakukan oleh ‘taiko-taiko’ kongsi gelap.

Semua ini hanya akan berlaku di negara polis.

Jadi, siapa lagi yang masih berani kata Malaysia bukan negara polis?! Siapa lagi? Saya berani mencabarnya untuk menafikan tuduhan ini.

1 comment:

nat said...

wah, ko punya bm boleh tahan jugak! :)