Sep 30, 07 11:40am
Kira-kira 100 pelajar Universiti Malaya (UM) dari kumpulan 'anti-establishment' membantah tindakan pihak pentadbiran membenarkan 16 calon dari kumpulan 'pro-establishment' - yang mereka dakwa tidak layak - bertanding dalam pilihanraya kampus pada 2 Oktober ini.
Ini adalah lanjutan kepada perarakan yang diadakan kelmarin untuk menyuarakan bantahan yang sama.
Mereka mendakwa, 16 calon tersebut terdiri daripada pelajar tahun akhir yang akan tamat pengajian sebelum berakhir tempoh Majlis Perwakilan Pelajar selama setahun.
Kumpulan 'anti-establishment' itu mengadakan protes tersebut di pintu masuk kolej kediaman kesembilan (K9) semalam. Kesemua 16 calon tersebut adalah dari kolej kediaman berkenaan.
Mereka mendakwa, pegawai pentadbir kolej kediaman tersebut, Wirakanain Sani turut terbabit dalam pencalonan 16 calon tersebut.
Pelajar yang menyertai protes itu turut menyembur cat di jalan mengutuk Wiranakanian sebagai 'bacul' dan menjadi 'dalang Umno'.
Mereka turut membakar kain rentang kempen salah seorang calon 'pro-establishment'.
Sementara itu, kira-kira 50 lagi pelajar turut berkumpul di situ, sambil membawa kain rentang menyokong Wirakanain dan Timbalan Naib Canselor, Azarae Idris.
Ekoran itu berlaku kutuk-mengutuk antara dua kumpulan merbabit. Bagaimanapun mereka bersurai secara aman pada kira-kira jam 4 petang.
Azarae enggan mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui wartawan malaysiakini.
Pilihanraya kampus setiap tahun membabitkan pertandingan sengit antara calon kumpulan 'anti-establishment' dengan calon 'pro-establishment' yang juga dikenali sebagai kumpulan Aspirasi.
No comments:
Post a Comment