Wednesday, October 17, 2007

ERL tidak prihatin terhadap orang cacat kelihatan

Saya berada di KL Sentral pada Hari Rabu 17hb Oktober 2007 kira-kira pukul 12 tengahari untuk urusan peribadi.

Saya mendapati landasan kuning khas untuk membantu orang yang cacat kelihatan telah dihalang oleh satu pameran model keretapi pantas Express Rail Link (ERL) berhampiran dengan pintu ketibaan ERL.

Saya berasa amat terkejut dan terkilan dengan kejadian ini kerana sepatutnya landasan yang disediakan khas untuk mereka yang cacat kelihatan tidak boleh dihalang oleh apa-apa objek tetapi dalam kes ini pula, pihak ERL memilih untuk mengepung sebahagian daripada landasan itu untuk dijadikan tempat pameran Hari Kebangsaan tanpa keprihatinan bahawa mereka telah menghalang laluan golongan cacat kelihatan.

Apa yang lebih mengecewakan ialah tema pameran ERL ini adalah bertajuk “Bangga dengan pencapaian kami”. Saya tidak berani untuk membayangkan perasaan mereka yang cacat kelihatan apabila mengetahui tema ini sedangkan mereka langsung tidak berasa bangga dengan ketidakprihatinan ERL. Adakah ini cara kita bagaimana kita hendak membentuk mesyarakat penyayang?

Saya telah menulis kepada pihak ERL KL Sentral untuk mengalihkan model keretapi ini agar ianya tidak terus menghalang laluan golongan cacat kelihatan. Perlu diingatkan bahawa ibu pejabat Persatuan Orang Buta Malaysia terletak di Bricksfield yang kebetulan berhampiran dengan KL Sentral dan sememangnya KL Sentral ini merupakan satu tempat keluar masuk untuk golongan cacat kelihatan.

Butir-butiran perhubungan ERL boleh diperolehi daripada http://www.kliaekspres.com/index_contact_us.html

No comments: